fbpx

Perang siber pertama berisiko tercetus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Pegawai-pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) sedang mengambil langkah berjaga-jaga lebih tinggi untuk menghadapi kemungkinan berlakunya serangan siber oleh Rusia, lapor akhbar The Sun UK, kelmarin.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kesatuan Eropah (EURC), Profesor Scheherazade Rehman percaya bahawa serangan ke atas AS berkemungkinan besar berlaku sekiranya krisis di Ukraine menjadi bertambah buruk.

“Tindak balas AS di Ukraine mungkin akan mencetuskan apa yang kami percaya adalah perang siber berskala besar pertama di dunia.

“Rusia telah melakukan operasi intipan siber yang menunjukkan kelemahan dalam infrastruktur kami (AS). Ini bermakna apabila mereka bersedia, mereka boleh terus melakukannya. Ia tidak semestinya esok,’’ jelas beliau kepada The Sun.

Beliau turut percaya bahawa Rusia tidak akan berhenti dalam perang siber sekiranya perang di Ukraine menjadi nyata. Perang siber berskala besar itu katanya, akan menyebabkan sektor swasta terdedah. 

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik Ukraine, Taras Kuzio yang merupakan felo penyelidik badan pemikir Henry Jackson Society berkata, perang siber sudah menjadi cara sesebuah negara untuk menjalankan serangan secara agresif dan menafikan bertanggungjawab. 

“Selepas pencerobohan Ukraine, AS tidak akan lagi berpura-pura bahawa serangan siber dari Rusia tidak dikawal oleh pihak berkuasa negara berkenaan dan akan bertindak balas dengan menyerang kembali,’’ jelas beliau.

Beliau turut memberi amaran bahawa perang siber itu akan bergerak pada tahap yang berbeza.

Kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya serangan siber tercetus apabila DHS memberi amaran bahawa Moscow akan mempertimbangkan untuk memulakan serangan siber sebagai tindak balas terhadap tindakan yang dilakukan oleh AS. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI