fbpx

K2

Bahagian ruang tamu biarpun dihias dengan begitu ringkas namun ia tetap mempunyai pesonanya yang tersendiri

Rona lembut wujudkan elemen selesa, tenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEKORASI rumah dengan menggunakan warna pastel yang lembut mempunyai auranya yang tersendiri dalam mewujudkan elemen ‘cozy’ dalam kediaman.

Bagi pemilik kediaman jenis apartmen yang terletak di ibu kota, Sara Yusri, dia dan suaminya, Yusri Fauzi berkongsi cita rasa yang sama apabila memilih konsep minimalis dalam tata rias kediaman milik mereka.

Ruang yang sedikit terhad tidak langsung menghalang Sara untuk menghias kediaman itu mengikut citarasa yang dimahukan.

Saat kaki melangkah masuk ke kediaman seluas 74 meter persegi itu, mata penulis berasa sejuk kerana pemilik begitu bijak menyusun atur segenap ruang kediaman, menjadikan rumah itu nampak kemas dan cukup selesa untuk didiami.

“Konsep yang dipilih bagi kediaman ini adalah minimalis dan saya banyak mengambil inspirasi daripada aplikasi Pinterest yang banyak berkongsi idea dekorasi yang cukup menarik.

“Saya amat menggemari rona-rona pastel yang lembut seperti putih dan beige kerana rona ini mewujudkan unsur tenang pada kediaman,” katanya.

Ruang makan keluarga itu pula menempatkan sebuah cermin besar bagi menjadikan kawasan itu tampak lebih luas

Bahagian ruang tamu biarpun dihias dengan begitu ringkas namun ia tetap mempunyai pesonanya yang tersendiri.

Wanita berusia 37 tahun itu memilih sofa tiga tempat duduk buat keluarga kecilnya daripada rona beige bagi mewujudkan elemen selesa.

Langsir pula adalah daripada rona putih dan polos bagi mencipta kesenadaan.

Bantal berbentuk segi empat sama dengan rona sedikit ‘bold’ turut digunakan pada ruang tamu itu bagi mewujudkan satu percikan warna yang menarik.

Hasilnya, ruang tamu itu tampil menawan namun masih mengekalkan konsep minimalis. 

Bagi mengelakkan ruangan itu kelihatan terlalu mendatar, Sara turut meletakkan beberapa pokok daripada jenis yang berbeza bagi menyelitkan unsur semula jadi pada bahagian ruang tamu.

Menjengah ke ruangan bilik tidur utama pula, Sara masih mengekalkan konsep hiasan yang ringkas dan masih mengekalkan padanan rona warna yang senada.

Katil berbingkai putih diserikan dengan cadar bercorak daripada rona putih dan coklat, sekali gus menaikkan seri ruang.

Susun atur bilik tidur konsep minimalis pilihan Sara.

Memandangkan Sara masih bermain dengan ruang yang terhad, ruangan bilik tidur itu sengaja dibiarkan ringkas tanpa barangan hiasan yang sarat.

Bingkai gambar dan beberapa dekorasi ringkas pula digantung pada bahagian dinding bagi mengelakkan bahagian itu kelihatan terlalu polos.

Ruang makan keluarga itu pula menempatkan sebuah cermin besar bagi menjadikan kawasan itu tampak lebih luas.

Set kerusi dan meja makan jenis kayu dengan reka bentuk ringkas menjadi pilihan pemilik untuk diletakkan di ruangan tersebut.

Sama seperti ruang tamu, Sara meletakkan satu barangan yang berwarna terang pada ruangan itu iaitu karpet.

Karpet daripada rona merah gelap menjadi pilihan, sekali gus menaikkan seri ruangan itu.

Ruangan dapur juga dipenuhi dengan rona putih, menjadikan kawasan itu tampak lebih luas.

Malah, bagi memastikan ia kekal kemas, Sara  tidak meletakkan terlalu banyak barangan di atas kaunter dapurnya.

Sara juga tidak lokek berkongsi bahawa dia menghabiskan sekitar RM35,000 bagi proses mengubahsuai dan menghias kediamannya itu.

“Bajet renovasi dan pembelian perabot yang sesuai cita rasa menelan belanja kira-kira RM35,000,” katanya.

 

POPULAR