fbpx

[VIDEO] Empat maut: Suami dengar isteri jerit Allahuakbar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anak ketiga Mohd. Nazri dan arwah Raihan, Ahdan Fasihah (kanan) tidak dapat menahan sebak melihat jenazah ibu dan tiga adik-beradiknya dikebumikan dalam satu kubur di di Tanah Perkuburan Islam Mukim Panchor, Pengkalan Chepa hari ini. FOTO ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Suami kepada seorang guru yang maut bersama tiga anak dalam kemalangan di simpang lampu isyarat susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) berhampiran Kampung Lebu, Bentong semalam sempat mendengar isterinya menjerit kalimah ‘Allahuakbar’ sebelum maut dalam kejadian itu.

Mohd. Nazri Hamid, 44, yang mengalami cedera ringan pada tangan kiri akibat nahas itu tersentak apabila mendengar jeritan arwah isterinya, Raihan Mohamad,43, semasa kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mereka sekeluarga dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang melanggar lampu isyarat merah.

Menurutnya, jeritan itu masih terngiang-ngiang di telinga apabila insiden itu merupakan kali terakhir dia mendengar suara isterinya.

Mohd. Nazri (kanan) mengaut tanah untuk mengebumikan jenazah empat ahli keluarganya dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Panchor, Pengkalan Chepa hari ini. FOTO ZULHANIFA SIDEK

Ujarnya, dia bersama arwah isteri dan tiga anak iaitu Ahda Dalili, 14, Ahmad Muaz Mohd. Nazri (7 tahun) dan Ahda Imtinan Mohd.Nazri (4 tahun) bertolak dari kuarters guru di Felda Aring, Gua Musang kira-kira pukul 10 pagi untuk menghadiri kenduri anak saudara sebelah isterinya di Kajang, Selangor.

“Kami sekeluarga berkonvoi bersama sebuah kereta dipandu abang ipar, Mohd. Zaid Mohamad, 46. Dua anak kami, Ahdan Fasihah, 11 dan abangnya Ahmad Awaz, 12 menaiki kereta bapa saudaranya itu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan telah merempuh kami. Saya yang memandu kenderaan sempat mendengar jeritan isteri sebelum melihat tiga anak yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dari MPV kami.

“Selepas kejadian, ada beberapa individu datang untuk memukul saya kerana berlaku salah faham apabila mereka menyangka saya merupakan punca kepada kemalangan, namun keadaan terkawal selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Mukim Panchor, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Nazri menjadi imam solat jenazah isteri dan tiga anaknya di Masjid As-Siddiqin Panchor di sini sebelum jenazah mereka selamat dikebumikan dalam satu kubur di tanah perkuburan berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Mohd. Nazri yang merupakan guru pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Aring itu berkata, meskipun sedih apabila kehilangan isteri dan tiga anak, dia tetap reda dengan kejadian menimpa keluarganya.

Ujarnya, arwah isterinya yang merupakan guru Bahasa Inggeris sekolah sama tempat dia bekerja tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.

“Cuma, arwah mengemas pakaian anak-anak dan pakaian saya pada malam sebelum kami bertolak. Kebiasaannya, saya akan mengemas pakaian sendiri jika mahu berjalan jauh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI