fbpx

Malaysia bentuk skuad terbaik ke BATC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENNY (tengah) menegaskan, pihaknya akan cuba membentuk skuad terbaik kerana Malaysia adalah tuan rumah bagi kejohanan BATC di Selangor bulan depan.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memberi gambaran untuk menyenaraikan lebih ramai pemain profesional dalam skuad badminton negara bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Selangor bulan depan.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menjelaskan, pihak­nya sentiasa membuat penilaian terhadap semua pemain Malaysia sama ada yang berada di bawah BAM mahupun bergerak secara profesional.

Memandangkan Malaysia akan turun sebagai tuan rumah selain meletakkan sasaran layak ke Piala Thomas secara merit, beliau percaya dua Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dan Rexy Mainaky akan membuat pilihan terbaik.

“Kami dalam proses untuk memuktamadkan barisan pemain. Kami akan cuba bentuk skuad terbaik kerana Malaysia adalah tuan rumah untuk edisi kali ini, jadi kami akan berikan segala-galanya.

“BAM terbuka (senaraikan pemain profesional) kerana kita perlu lihat secara keseluruhan. Apa yang pasti, kita akan buat yang terbaik bagi memastikan pasukan terbaik dibawa ke kejohanan itu nanti.

“Saya sentiasa berkomunikasi dengan kedua-dua Pengarah Kejurulatihan dan mereka cakap persediaan sudah agak rapi. Kita akan lihat pemain terbaik tidak kira di dalam mahupun luar BAM,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar BATC Selangor 2022 di Subang Jaya semalam.

Sebelum ini, perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia yang sudah pun mendapat restu untuk menjadi pemain profesional memberi jaminan dia akan bersama pasukan kebangsaan bagi menghadapi kejohanan berpasukan itu.

Pada masa sama, Kenny yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM memberi amaran kepada pasukan negara supaya jangan mengambil mudah cabaran pa­sukan lain biarpun pasukan No.1 dunia, China tidak menyertai kejohanan kali ini.

“Bagi saya, kita tidak boleh pandang rendah pasukan lain biarpun China tiada dalam saingan kali ini kerana jika dilihat ranking dunia, hampir 80 atau 90 peratus pasukan adalah dari Asia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kenny menjelaskan, BAM akan memproses rayuan bekas perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei secepat mungkin berhubung keputusan tidak mendaftarkan namanya dalam sebarang kejohanan selama dua tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI