SEORANG pengumpul duit lama, A. Azahari Kasim atau dikenali sebagai Pak Chu yang menyimpan pelbagai wang syiling dan kertas lama mengakui hobi itu mampu memberi pulangan yang besar.
Dia pernah menjual sekeping wang kertas simpanannya pada harga RM40,000.
Menurut Pak Chu, dia mula menyimpan wang lama dan unik itu sejak 23 tahun lalu selepas berhijrah ke ibu kota bagi memulakan perniagaan herba.
Antara koleksi wang kertas tempatan dalam koleksi Pak Chu adalah duit kertas edaran siri pertama dari tahun 1967 hingga 1972 sehingga siri ke-14 (2019).
———————————————————————————————————————————————-
SAAT lelaki berusia 61 tahun itu meletakkan ‘artifak’ lama miliknya di atas meja bagi tujuan fotografi, beberapa individu yang melalui kawasan tersebut nyata terkejut.
Mereka tidak menyangka A. Azahari Kasim yang dikenali sebagai seorang penjual herba di Chow Kit, Kuala Lumpur menyimpan begitu banyak wang kertas dan syiling lama.
Rata-rata mereka menzahirkan rasa kagum dan teruja melihat pelbagai koleksi menarik dimiliki A. Azahari atau lebih mesra disapa Pak Chu.

Malah, ada antara mereka menyifatkan koleksi dimiliki oleh Pak Chu sangat terhad dan sukar diperoleh atau dijumpai di mana-mana pada masa kini.
Rasa teruja mereka kian terserlah apabila Pak Chu mengeluarkan duit-duit lama berupa RM1 dan RM10 yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1967 hingga 1972.
“Wah, banyaknya you (awak) punya koleksi duit lama. Ini duit lama sudah susah mahu jumpa sekarang, dahulu memang banyak.
“Mesti mahal ini kalau you boleh jual dekat orang (pembeli),” seloroh seorang lelaki berketurunan Tionghoa separa abad kepada Pak Chu.
Pak Chu hanya tersenyum meleret selepas mendengar ungkapan tersebut kerana dia sedar koleksi dimilikinya bernilai lebih ratusan ribu ringgit andai dijual semula.
Menurut lelaki berasal dari Besut, Terengganu itu, dia bukan sahaja menyimpan wang dan syiling tempatan, malah duit dari seluruh dunia.
Ujarnya, dia turut memiliki beberapa koleksi syiling edisi terhad yang dikeluarkan oleh Bank Negara sebagai cenderamata bagi memperingati seseorang tokoh atau sesuatu peristiwa.
“Koleksi duit lama yang saya pamerkan hari ini hanya sekitar 70 peratus daripada keseluruhan simpanan. Ada banyak lagi, tapi tidak cukup ruang hendak letak.
“Duit-duit ini disimpan sebagai koleksi dan ada sebahagiannya telah dijual apabila saya rasa kena dengan harganya,” ujarnya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

BEBERAPA duit syiling unik yang dinamakan ‘duit yassin’ yang sering diburu untuk tujuan mistik.
Menurut Pak Chu, dia mula menyimpan wang lama dan unik itu sejak 23 tahun lalu selepas berhijrah ke ibu kota bagi memulakan perniagaan herba.
Dia memaklumkan, minatnya mengumpul spesimen itu tercetus apabila ada seorang pelanggan menjual sejumlah wang lama pada harga dianggap berpatutan.
“Bermula dengan seorang yang jual duit lama dan unik, lama-lama semakin ramai yang datang jual duit mereka di sini. Ketika itu, saya beli sahaja, minat masih belum ada.
“Tetapi lama-kelamaan, minat itu timbul terutamanya selepas tahu ada golongan yang mencari duit-duit ini. Bermula akhir 1990-an, saya mula aktif mencari duit lama dan rare ini.
“Saya ada keluar cari sehingga ke Ipoh, Perak; Kota Bharu, Kelantan selain Pulau Pinang untuk beli duit-duit ini daripada penjual barang antik,” terangnya lagi.
Antara koleksi wang kertas tempatan dalam koleksi Pak Chu adalah duit kertas edaran siri pertama dari tahun 1967 hingga 1972 sehingga siri ke-14 (2019).
Bapa kepada lima cahaya mata itu juga mengumpul duit syiling tempatan edaran siri pertama dari tahun 1967 hingga 1988, siri kedua (1989 hingga 2011) dan siri ketiga (2011-kini).
Dia turut mempunyai syiling peringatan sempena Ulang Tahun Bank Negara Ke-10 pada tahun 1969, Tunku Abdul Rahman Al-Haj (1971) dan Penganugerahan Taraf Bandar Raya Kuala Lumpur (1971).

“Kebanyakan dalam simpanan saya adalah wang tempatan. Tetapi saya juga ada simpan mata wang asing dari seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Euro.
“Duit-duit luar negara ini saya dapat daripada mereka yang ingin membuat pertukaran wang. Ada yang tukar secara pukal tanpa ikut nilai semasa. Jadi, saya ambillah,” ujarnya.
Pak Chu memberitahu, antara kepuasan menyimpan wang lama dan rare adalah selepas berjaya menjualnya semula kepada orang lain pada harga tinggi sekali gus dapat menjana keuntungan.
Tegasnya, dia pernah menjual wang kertas lama RM1,000 dengan ejaan Sa-Ribu yang dikeluarkan Bank Negara (1967-1972) dengan harga RM40,000 kepada seorang pengumpul.
Dia menambah, wang kertas yang turut mendapat permintaan tinggi dan bernilai adalah RM10 yang ditulis Sa-puloh dengan harganya mencecah RM500 bergantung pada kondisi.
“Simpan duit lama ini modalnya mati. Jadi, kena ada proses beli dan jual baru modalnya bergerak. Dari situlah dapat kepuasan maksimum menyimpan duit lama dan unik ini.
“Harga paling mahal saya jual adalah wang kertas RM1,000. Duit itu memang sangat terhad, saya difahamkan harganya ketika ini boleh cecah ratusan ribu ringgit.
“Sebenarnya, nilai jualan wang kertas lama ini berdasarkan gred. Duit yang belum digunakan (uncirculated) nilainya lebih tinggi, kalau sudah guna ia dinilai berdasarkan kondisi,” terangnya.
Pak Chu menambah, nilai wang kertas bukan saja bergantung kondisi, malah tahun keluaran, tandatangan gabenor Bank Negara dan kedudukan tandatangan.
Katanya, wang kertas yang banyak orang cari adalah RM1 dikeluarkan antara 1998 hingga 2000 yang ditandatangani oleh gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman.
“Wang kertas ini saya pernah jual RM3,000 sekeping sebab ia unik kerana tanda tangan gabenor bank ketika itu kelihatan seperti ‘Aishah’.
“Ramai yang cari dan hendak beli duit ini kerana dipercayai boleh membawa tuah. Ada juga orang guna duit ini untuk tujuan mistik atau tarik duit,” katanya.


Turut dalam simpanan Pak Chu adalah beberapa set wang kertas dengan nombor siri mengikut turutan dan susunan angkanya yang dikatakan menarik serta unik.
Pak Chu juga menyimpan syiling bernilai tinggi iaitu 50 sen dengan sisi bergerigi terbelah (1967-1988) yang boleh mencecah RM300 dalam pasaran.
Mengulas mengenai aspek penjagaan bagi memastikan koleksi wangnya sentiasa selamat, Pak Chu menjelaskan, dia menyimpannya dengan cermat di dalam plastik khas.
Katanya, duit berkenaan perlu diletakkan secara lurus dan disimpan di tempat bebas daripada cahaya matahari atau lembap supaya tahan lebih lama.
“Duit-duit lama ini perlu disimpan dengan baik dan selamat. Jangan letak di tempat berisiko seperti di dalam dompet kerana ia boleh terlipat dan mengurangkan nilainya,” maklumnya.
Pak Chu turut menasihati golongan muda yang ingin berjinak-jinak dengan hobi berkenaan supaya tidak terlalu ghairah mencari duit-duit lama dan unik tersebut.
Dia memaklumkan, hobi berkenaan memerlukan modal besar selain berisiko terbeli wang palsu atau dicuri sekiranya tidak disimpan di tempat selamat.
“Kalau tiada duit, usahlah hendak simpan duit lama atau unik ini. Lebih baik guna duit untuk makan atau beli barang keperluan,” tegasnya.
Pak Chu berharap hobi yang dipupuk sejak sekian lama itu dapat diteruskan oleh salah seorang anaknya bagi memastikan legasinya terus terpelihara.














