fbpx
Misbun (kanan) pakar dalam melahirkan bintang dunia.

Bukan mudah pemain bergerak secara profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

SAGA perbalahan antara pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia dengan Persekutuan Badminton Malaysia (BAM) ak­hirnya menampakkan sinarnya.

Ini selepas Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria me­restui permintaan juara Seluruh England (All England) 2021 itu berge­rak secara profesional.

Sebelum itu, BAM mengambil tindakan kurang popular apabila bertindak ‘menggantung’ Zii Jia selama dua tahun daripada ­beraksi di pentas antarabangsa.

Tindakan itu mengundang rasa kurang senang dalam kala­ngan peminat tempatan dan mendapat kritikan daripada segelintir pemain badminton dunia lain.

Bagaimanapun, pada Selasa lalu, BAM membuat pusingan U selepas Zii Jia melakukan pertemuan ‘hati ke hati’ dengan Mohamad Norza. Dengan ber­akhirnya kemelut ini, bermulalah dunia baharu buat Zii Jia sebagai pemain badminton profesional selepas sekian lama berada di bawah BAM.

Bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim berkata, bergerak secara profesional tidak semudah disangka kerana banyak perkara perlu diberi perhatian.

“Banyak perkara Zii Jia kena fikir selepas ini terutama rakan sepelatih. Dia perlu mencari sparing yang betul-betul boleh membantu.

“Di Malaysia, saya rasa tiada pemain perseorangan lebih baik daripada Zii Jia. Kalau dia pilih bermain di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu itu bagus.

“Semasa bergerak secara profesional dahulu, saya ada ramai rakan sparing yang bagus seperti Rashid Sidek dan Ong Wee Hock. Sebab itulah saya boleh dapat nombor satu dunia,” tegasnya.

Katanya, pemain profesional mempunyai tekanan tersendiri terutamanya dalam memastikan prestasi mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.

Jelas beliau, pemain profesional harus menunjukkan aksi yang bagus dan konsisten bagi menarik minat syarikat-syarikat besar memberi tajaan.

“Sebelum ini, kita dapat tahu Zii Jia mendapat tajaan besar daripada syarikat tertentu. Pas­tinya, ia berdasarkan prestasi semasa beliau ketika ini. Jadi, dia perlu mengekalkan prestasinya,” ujarnya lagi.

Roslin juga menyatakan kebimbangan tindakan BAM memberi restu kepada Zii Jia bergerak profesional akan membuka pe­luang buat pemain lain melakukan tindakan sama.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Badminton Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek menjelaskan, dia yakin tindakan Zii Jia mahu bergerak sendiri mempunyai sebab-sebab tersendiri.

Beliau menghormati keputusan bekas anak didiknya itu dan berharap langkah yang diambil mampu memacu Zii Jia menggapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Saya menghormati tindakan Zii Jia, tetapi saya sentiasa percaya tempat terbaik untuk seorang pemain badminton adalah di dalam BAM.

“Kita boleh dilihat, Datuk Lee Chong Wei kekal bersama BAM sehingga bersara pada 2019 kerana keyakinannya terhadap institusi ini,” ujarnya.

Misbun menambah, dia yakin Zii Jia mampu bergerak secara profesional, namun untuk berada antara lima pemain terbaik dunia pastinya mencabar.

Jelasnya, bergerak secara profesional bukan mudah kerana Zii Jia perlu mencari kelab, jurulatih dan rakan sparing terbaik untuk meningkatkan prestasinya.

“Kalau sekadar main, saya yakin Zii Jia boleh melakukannya, tetapi untuk berada kelompok lima terbaik, ia agak sukar. Saya lihat permainan Zii Jia ketika ini masih belum stabil,” katanya.

POPULAR