fbpx

8 warga asing miliki minyak masak borong tanpa lesen dijel 12 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

HULU SELANGOR – Tindakan tujuh rakyat Myanmar dan seorang warga Thailand yang memiliki 31,630 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen, memakan diri apabila mereka dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas tujuh warga Myanmar iaitu Shofi Habi Ullah, Adumujib Ismail, Mohammad Ali Ali Ahmad, Hamid Hussein Nobi Husson, Abdul Mubarik Abdul Malik, Nor Hamod Basir Ahmed dan Mohammad Ali Harun Ali serta warga Thailand, Doloh Cheloh selepas mereka mengekalkan pengakuan bersalah pada tarikh jatuh hukum hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua warga asing berusia antara 18 hingga 45 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 11 Oktober 2021.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas telah ada dalam kawalan mereka barangan berjadual iaitu 31,630 kilogram minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen di sebuah premis tanpa nama di Bandar Bukit Beruntung, Rawang di sini, pukul 11.30 pagi, 11 Oktober 2021.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang mana hukuman bagi seksyen itu yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding sama, hakim itu turut menjatuhkan hukuman denda RM200,000 terhadap seorang lelaki warga tempatan, Ku Mohd. Fahmi Ku Mat, 44, selepas dia juga mengekalkan pengakuan bersalah atas kesalahan sama pada tempat dan waktu yang sama.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI