fbpx

Sanggup goda tuan rumah untuk hidup senang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN sering dikeji rakan sekeliling, namun bagi gadis kelahiran Alor Setar, Kedah itu, dia tidak kisah dengan pandangan serong yang dilemparkan kepadanya.

Kata Wani (bukan nama sebenar), demi wang, dia sanggup lakukan apa sahaja. Siapa sangka, tindakannya yang ‘melayan’ tuan rumah kerana enggan membayar sewa rumah sewaktu melanjutkan pengajian beberapa tahun lalu menjerat dirinya sendiri apabila dia terjebak sebagai perempuan simpanan.

Hidupnya kini tidaklah semewah seperti perempuan simpanan lain, tetapi itu sudah cukup membuatkan Wani selesa. Tambahan pula dia tidak terikat dengan lelaki tersebut dan bebas berkawan mahupun menjalinkan hubungan serius dengan lelaki lain.

Berkongsi kisah kepada Panorama, menurut gadis berusia 25 tahun ini lagi, kisah hidupnya sebagai seorang perempuan simpanan bermula ketika dia berusia 20 tahun.

Ketika itu, dia berkelana ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di sebuah institusi di Lembah Klang. Kos sara hidup yang tinggi dan masalah ketidakcukupan duit yang sering dialaminya menyebabkan Wani nekad menggoda tuan rumahnya yang memiliki beberapa buah perniagaan.

Biarpun sedar lelaki tersebut sudah berusia dan berkahwin, namun gadis ini tidak pernah penat menggoda untuk mencuba nasib. Ternyata usahanya itu berbaloi apabila ‘umpan’ yang dipasang mengena.

“Biasalah pelajar, masalah tidak cukupwang sering menjadi isu kami. Lebih-lebih lagi apabila tidak pandai menguruskan wang.

“Ketika melanjutkan pengajian di peringkat diploma dahulu, saya tiada masalah ini. Mungkin disebabkan lokasinya yang terletak jauh di desa dan tinggal di asrama.

“Apabila belajar di tengah kota dan tiada lagi kemudahan kolej disediakan, bajet yang ada hanya cukup-cukup makan dan kadangkala saya terpaksa berlapar kerana tidak mempunyai wang,” katanya.

Lahir dalam keluarga berpecah-belah ekoran perceraian kedua-dua ibu bapa sejak kecil lagi menyebabkan gadis ini tidak mempunyai sokongan kewangan yang kukuh.

Mahu atau tidak, Wani terpaksa mencari jalan penyelesaiannya sendiri bagi membolehkan dia terus menampung pembelajarannya.

“Saya tidak pernah berniat mahu menjadi perempuan simpanan. Segalanya bermula selepas saya tidak cukup duit untuk membeli buku rujukan.

“Disebabkan setiap bulan saya yang ditugaskan mengutip wang sewa rumah daripada rakan-rakan, saya ambil keputusan untuk gunakan dahulu wang tersebut. Apabila tiba waktu untuk membayar, saya mula meminta simpati dan mencipta pelbagai alasan,” ujarnya.

Pada mulanya, taktik itu menjadi. Tetapi pada bulan kedua, lelaki itu mula berang. Panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, Wani mengambil keputusan untuk ‘membelanja’ lelaki itu dengan gambar seksinya.

Sudah dijangka, Wani mula dihamburkan dengan kata-kata kurang enak seperti ‘gadis sundal’ dan diminta untuk keluar daripada rumah sewa tersebut.

Enggan mengalah kerana melihat itulah sumber untuk mendapatkan wang dengan mudah, gadis ini mula mengirimkan bunga dan coklat ke tempat kerja lelaki tersebut.

Tidak cukup dengan itu, Wani bahkan sanggup bersemuka dan membuat ‘pelbagai drama’.

“Entah bagaimana, dia cair dengan pujuk rayu saya. Bermula dengan janji temu sebagai abang dan adik, ia kemudian berakhir sebaliknya selepas kami mula bermalam di sebuah hotel terkemuka.

“Di situlah segala-galanya bermula dan menjadi rutin mingguan sehingga ke hari ini. Saya tidak kisah diperlakukan begitu asalkan tidak pening kepala memikirkan wang.

“Walaupun tidak perlu membayar sewa rumah dan diberikan wang sebagai ‘peneman’, namun saya masih lagi mengutip duit sewa daripada rakan serumah dan digunakan untuk membeli barangan peribadi,” jelasnya.

Bak kata pepatah bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru, perbuatan terkutuk Wani akhirnya berjaya dihidu oleh teman serumah sehingga dia dipulaukan. Bagaimanapun, Wani tidak kisah dengan situasi itu, lebih-lebih lagi dia mempunyai kuasa mutlak di rumah sewa itu selain jarang pulang ke rumah.

“Sepanjang menjadi perempuan simpanan lelaki itu, hidup saya boleh dikatakan mewah. Saya diberikan kenderaan biarpun ia cumalah sebuah Honda City. Cuma satu yang dipinta, saya tidak boleh mendedahkan hubungan tersebut kepada sesiapa kerana enggan diketahui isterinya. Bagi berlaku adil, dia juga membenarkan saya mempunyai teman lelaki.

“Hubungan kami boleh diumpamakan seperti sebuah perjanjian kerana selagi saya memperoleh wang dan menggunakan kesemua hartanya secara percuma, saya perlu menjadi ‘penemannya’ di hotel setiap hujung minggu.

“Disebabkan mahukan wang jugalah, saya masih lagi melayaninya biarpun kini sudah bertunang,” kongsinya.

Jelas Wani, perhubungannya masih berjaya disorok sehingga hari ini memandangkan tunangnya kini bekerja di luar negara.

“Saya tidak tahu bila akan mengakhiri semua perbuatan terkutuk ini. Paling takut apabila mengenangkan adakah bakal suami mampu menerima diri saya seadanya.

“Tetapi, saya perlu sedar, berani buat, beranilah tanggung risiko,” ungkapnya.

 

POPULAR