fbpx
Beli kenderaan mewah adalah rasional bagi yang benar-benar berkemampuan, tetapi tidak wajar bagi yang mahu terlihat berjaya sehingga menjerat diri. - Gambar hiasan

Adakah kereta mewah lambang kejayaan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MAHAL harga sesebuah kenderaan walau dibeli dengan pinjaman bank, maka ‘semahal’ itu juga seseorang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Memandu kereta mewah pulang ke kampung disanjung sanak saudara dan rakan taulan, memandu Perodua Kancil 850 mungkin disapa dengan salam sahaja.

Sebab itu juga sebilangan orang tidak berminat menyertai majlis keraian terutama ‘reunion’ kerana ia seolah-olah sebuah pertandingan ‘kereta dan kesuksesan’.

Beli kenderaan mewah adalah rasional bagi yang benar-benar berkemampuan, tetapi tidak wajar bagi yang mahu terlihat berjaya sehingga menjerat diri.

Kenderaan sebagai lambang kejayaan hidup fikrah zaman berzaman. Suatu ketika dulu, memiliki kereta lembu besar dan cantik dianggap gaya, mutu dan keunggulan.

Justeru, tidak hairan di zaman ini ada yang sanggup memperuntukkan sebahagian besar gaji bulanan semata-mata membayar hutang kereta.

Susut nilai dianggarkan antara 15 hingga 35 peratus pada tahun pertama dan meningkat hingga 50 peratus selepas memasuki tahun kelima tidak relevan.

Rakan penulis, Azrul Muhammed, 45, berkata, kereta simbol kejayaan hidup adalah konsep yang diguna pakai masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

Katanya, pandangan itu meskipun enggan diperakui ramai, tetapi secara harfiah ia suatu falsafah yang mendesak dalam sosio masyarakat.

“Semasa bujang, kerja ‘mat despatch’ hanya mampu guna motosikal Honda EX-5, tapi selepas kerja lain, baru dapat pakai kereta.

“Mula-mula keluarga ‘awek’ tak berkenan. Selepas ada Proton Waja (di zaman kegemilangannya) tanya bila nak kahwin,” katanya.

Isu terkait peribahasa ‘biar papa asal bergaya’ membabitkan kenderaan pernah beberapa kali tular di media sosial.

Kisah seorang pemuda bergaji RM1,700 sebulan mahu membeli Honda jenis FL1 dengan ansuran sembilan tahun mendapat perhatian ramai.

Sebelum itu, seorang pemuda 19 tahun turut tular apabila mencuba nasib mahu membeli kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50.

Menarik perhatian apabila dia hanya memiliki gaji sekitar RM1,100 sebulan yang bermaksud tersangat jauh daripada kemampuannya.

“Ramai budak-budak mahu kereta ‘ada-ada’. Proton X50, Honda Civic, Toyota Vios dan Honda City. Minta beli Produa Axia, Proton Saga tak minat. Begitulah generasi sekarang,” komen seorang jurujual.

Ironinya, sebanyak 1,200 kereta dan motosikal dianggarkan ditarik di seluruh negara setiap bulan gara-gara pembeli gagal menjelaskan bayaran kepada bank.

Daripada jumlah itu, hanya 40 peminjam berjaya mendapatkan semula kenderaan mereka, manakala selebihnya ‘hangus’.

Kesimpulannya, dari dulu hingga kini untuk mendapatkan penarafan tinggi manusia, diri perlu terlihat berjaya walaupun ia bermakna tutup lubang, gali lubang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN