fbpx

Kecederaan punca Raducanu tersingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RADUCANU tidak dapat beraksi pada tahap terbaik kerana mengalami kecederaan di bahagian tapak tangan. – AFP

MELBOURNE – Impian bintang tenis Great Britain, Emma Raducanu untuk melangkah lebih jauh pada saingan Terbuka Australia tidak kesampaian apabila tumbang di tangan pemain ranking ke-98 dunia.

Raducanu mengalami kecederaan serius di bahagian tapak tangannya yang dikatakan terkoyak menyebabkan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu tewas 4-6, 6-4, 3-6 kepada pemain dari Montenegro, Danka Kovinic semalam.

Sebelum perlawanan berlangsung, Raducanu sudah dinasihatkan oleh pasukannya supaya tidak beraksi pada pusingan ke­dua itu kerana kecederaan tersebut boleh menghalangnya untuk tampil dengan lebih baik.

Bagaimanapun, Raducanu tetap berkeras untuk meneruskan perlawanan itu sebelum dia terpaksa akur dengan kekalahan kepada Kovinic dalam tempoh dua jam 38 minit.

Raducanu yang sempat menjalani rawatan sebelum tewas pada set pertama mengakui, kekalahan itu adalah pengajaran terbaik baginya.

“Beberapa orang dalam pasukan telah menghalang saya daripada meneruskan permainan pada pusingan kedua ini. Mereka enggan mengambil sebarang risiko yang lebih serius disebabkan kecederaan ini.

“Namun, saya tetap ingin meneruskan permainan ini dan cuba berjuang sebaik mungkin untuk melihat sejauh mana tahap kemampuan saya.

“Saya fikir kekalahan ini adalah satu pengalaman yang cukup berharga. Saya tidak pernah mengalami situasi seperti ini dan saya ambil perkara positif sebagai pengajaran,” kata pemain berusia 20 tahun tersebut.

Hasil keputusan tersebut, Kovinic akan menghadapi pilihan ke-14 kejohanan iaitu Simona Halep yang berjaya mengatasi pemain dari Brazil, Beatriz Haddad Maia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI