Hamzah ketika bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Executive Lounge MM2H di Ibu Pejabat JIM di sini, hari ini.- Foto - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Program MM2H terima sambutan menggalakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menunjukkan penerimaan yang menggalakkan daripada warga asing apabila sebanyak 111 permohonan telah diterima setakat Januari tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengumuman pelancaran program berkenaan telah dibuat pada Ogos tahun lalu dan selepas dibuka pada November 2021, penyertaan yang diterima amatlah menggalakkan.

“Dalam tempoh dua bulan selepas permohonan dibuka, sebanyak 15 peserta yang terdiri daripada pemegang pas ‘prinsipal’ dan ‘tanggungan’ telah diluluskan malah tiga daripada mereka kini sudah pun menetap di Malaysia.

“Daripada 111 permohonan yang diterima, 15 telah diluluskan manakala bakinya masih dalam proses melengkapkan dokumen serta ada yang sedang dalam penelitian pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Executive Lounge MM2H di Ibu Pejabat JIM di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Jelas Hamzah, permohonan menyertai program tersebut yang dibuat secara online dimulakan pada November lalu selepas diambil alih daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) pada Ogos tahun sama.

“Hanya peserta yang memenuhi syarat diterima (menyertai MM2H) iaitu mesti membawa sekurang-kurangnya RM1 juta setiap seorang berbanding dulu hanya disyaratkan RM300,000 saja.

“Secara purata, jika kita luluskan 1,000 permohonan setiap tahun, dengan itu kita membawa masuk RM1 bilion, berbeza jika kita bandingkan dengan dahulu yang mana kita hanya mampu membawa RM300 juta,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kerajaan menyasarkan peserta yang berkualiti, berkemampuan serta berpendapatan tinggi untuk menyertai program berkenaan sekaligus menafikan dakwaan negatif sesetengah pihak terhadap program itu.

“Kita bermula dengan Silver Hair Program pada 1996, dan sehingga sekarang iaitu sudah 25 tahun, hanya 27,285 pemegang pas prinsipal dan 27,725 pemegang pas tanggungan yang aktif.

“Program ini menunjukkan bahawa dalam tempoh 25 tahun hanya lebih kurang 1,000 pemegang pas yang aktif setahun, jadi tidak perlu diperbesarkan seolah-olah ia membawa banyak kerugian kepada negara dan sebagainya,” jelas beliau.

Tambah beliau, program berkenaan juga akan ditambah baik secara berperingkat dengan kerjasama Motac, Bank Negara dan ejen-ejen pengendali MM2H sebelum ini bagi memastikan ia lebih berjaya di masa hadapan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN