fbpx

Harga ikan di pasar dibayar lagi mahal – Hamidah Wahab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDAH WAHAB

PETALING JAYA – Pelakon veteran Hamidah Wahab mengakui terkilan dan sedih mengenangkan soal bayaran tidak setimpal yang diterima oleh pelakon-pelakon senior termasuk dirinya ketika ini.

Hamidah, 66, berpendapat, pelakon lama seharusnya dibayar dengan harga berpatutan dan seiring dengan pengalaman mereka berada dalam industri sebagai pelakon.

“Saya kena akui bayaran yang diterima oleh pelakon senior seperti saya lebih rendah berbanding pelakon-pelakon baharu. Saya pun tidak tahu kenapa kami dibayar murah.

“Saya sangat sedih dan terasa (terkilan). Selama kami para pelakon veteran berkecimpung dalam industri seni selama berpuluh-puluh tahun, akhirnya kami tidak dihargai,” katanya.

Pada masa sama, pelakon drama Tanah Kubur itu menganggap bayaran yang diterima adalah lebih rendah berbanding harga ikan yang dijual di pasar-pasar.

“Ikan dekat pasar pun lagi mahal daripada bayaran pelakon veteran. Orang mungkin ingat bayaran pelakon veteran lebih mahal. Tetapi tidak,” katanya.

Dramatis yang memulakan kerjaya sebagai peragawati sekitar tahun 1970-an itu berkata, pelakon baharu hari ini juga ada yang tidak mengenali pelakon veteran ketika sama-sama menjalani penggambaran.

Hamidah yang ditemui pada majlis meraikan artis veteran di restoran Dulang café di Danau Kota, Kuala Lumpur baru-baru ini kecewa apabila terdapat segelintir pelakon baharu seperti tidak menghargai bakat lama seperti dirinya.

“Saya akui ada pelakon baharu tidak mengenali saya. Apabila kita memperkenalkan diri, baru mereka (pelakon baharu) tahu saya juga adalah pelakon. Kalau tidak setakat, ‘hai’ sahaja.

“Kami tidak minta disanjung, namun cukup dengan rasa hormat dengan artis veteran yang telah lama mencipta nama. ” katanya.

Dalam pada itu, pelakon yang mempunyai 10 orang cucu itu bersyukur kerana masih diberi kudrat dan rezeki untuk terus bekerja.

Malah, Hamidah mengakui belum terfikir lagi untuk berundur dalam dunia seni lakonan dalam masa terdekat kerana jiwanya masih menebal terhadap bidang seni. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN