fbpx

Peniaga jual barang tenggelam banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN pasca banjir di Taman Chegar Medang, Bentong pada Disember lalu.

BENTONG – Sikap tidak beretika segelintir peniaga yang menjual barangan termasuk makanan dan minuman yang ditenggelami banjir boleh memberi ancaman kepada ke­selamatan pengguna.

Dengan alasan tidak mahu menanggung kerugian, sikap peniaga terbabit pastinya boleh me­ngundang risiko kepada kesihatan pengguna termasuk mangsa-mangsa banjir yang masih terkesan de­ngan bencana itu.

Seorang pengguna, Azmi Uda, 57, berkata, dia berasa tertipu dan bimbangkan keselamatan anaknya selepas terbeli minuman botol yang ditenggelami air banjir yang dijual semula peniaga terbabit semalam.

“Saya bersama anak telah pergi semula ke kedai runcit berkenaan menunjukkan kesan lumpur pada penutup dalam air botol berkenaan tetapi peniaga berdegil tidak mahu menukarnya dengan alasan tidak mahu rugi.

“Saya bimbangkan keselamatan pengguna terutama kanak-kanak jika mereka minum air ini boleh menyebabkan risiko kesihatan akibat air yang sudah tercemar selepas berendam air banjir berlumpur,” katanya yang tinggal di Taman Chegar Medang, di sini semalam.

BAHAGIAN dalam penutup botol minuman yang mempunyai kesan lumpur dijual kepada pengguna di Bentong semalam.

Menurutnya, sikap peniaga berkenaan amat mendukacitakan kerana boleh memberi kesan kesihatan kepada mangsa-­mangsa banjir yang masih terbeban akibat bencana banjir besar berkenaan.

Katanya, selain air minuman, terdapat pelbagai lagi barangan peket seperti rempah dan makanan yang dilihat masih mempunyai kesan lumpur dijual di kedai berkenaan.

Dalam pada itu, Zulmi Abdul Aziz, 58, berkata, terdapat juga kedai-kedai serta pasar raya yang menjual barang-barang minuman dan makanan ditenggelami banjir dengan kadar diskaun.

“Saya berasa curiga juga me­ngenai keselamatan jika membeli barangan ini, saya harap pihak berkuasa dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini agar tidak ada orang ramai menjadi mangsa dan mengalami keracunan makanan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Raub dan Bentong, Rozma Ab. Rahman berkata, pihaknya akan melakukan siasatan mengenai isu berkenaan seterusnya melakukan tindakan mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau me­minta orang ramai mengemukakan aduan kepada pihak­nya sama ada melalui telefon, ­e-aduan atau datang ke pejabat PPDNHEP berhampiran. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI