fbpx

Kid, Din berteguh demi Search

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Search kini seolah-olah berpecah kepada dua 'kem'.

PERANG dingin bahkan boleh disifatkan sebagai perebutan hak dalam kumpulan legenda Search nampaknya belum berkesudahan.

Bermula dengan isu penjenamaan, kini gitaris dan pemain bass Search, Kid dan Noordin menganggap alasan pengunduran Amy daripada kumpulan berusia lebih 30 tahun itu disebabkan masalah disiplin mereka berdua hanyalah satu eskapisme bagi mengalih perhatian umum tentang konflik dalaman yang sedang dihadapi.

Kata Kid atau nama sebenarnya Hamzah Mohd. Taib, bekas vokalis mereka itu hanya mahu lari daripada memperkatakan topik sebenar perbincangan seperti yang biasa dilakukannya sebelum ini.

“Kenapa hanya baru-baru ini dia keluarkan kenyataan sedemikian? Bila jadi begini, dia melangkaui pula isu lain. Mereka cuba cari alasan, sedangkan sebelum ini, kami kerap cuba hubunginya untuk mendapatkan penjelasan atau berbincang tanpa kehadiran pihak yang tiada kaitan.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ulas kerana lebih sesuai jika kami berhubung sesama sendiri. Ini membabitkan soal dalaman, nanti kalau berbalas ia akan berlarutan.

Jika saya buat seperti apa yang mereka lakukan, tiada bezalah cara kami berfikir dengan mereka.

“Saya sendiri pernah tanya mereka, kamu jawab soalan saya. Jangan saya tanya lain, dijawab lain. Soalan saya semasa buat live pun mereka tak jawab. Sampai sekarang mereka tak bagi sebarang balasan, cubalah fokus terhadap perkara pokok yang perlu diselesaikan dulu.

“Jadilah profesional. Kami pun tak suka menyerang secara peribadi. Anda datang dan jumpa. Kita sudah macam keluarga. Kalau ada masalah, kita duduk berbincang,” katanya selepas majlis memperkenalkan vokalis baharu, Denden Gonjales seorang penyanyi yang juga YouTuber dari Indonesia.

Terdahulu, polemik penggunaan nama kumpulan ikonik membabitkan dua ‘kem’ itu tercetus selepas pemain bassnya, Nasir bersama Amy turut menggunakan nama

Search dalam projek lagu terbaharu dengan disertai dua lagi bekas anggota Search, Man Kidal dan Hillary Ang.

Kemelut antara kedua-dua pihak itu semakin menjadi bualan selepas Amy membuat kenyataan mendakwa antara punca dia keluar daripada Search untuk bergerak solo adalah disiplin Kid dan abangnya yang didakwa sering tidak hadir pada sesi latihan dan promosi album, selain tidak menyempurnakan kerja rakaman album Katharsis yang diterbitkan pada 2017.

Seperti abangnya, Kid yang juga pemain gitar utama Search meminta peminat yang mengikuti perkembangan mereka sejak tahun 1980-an sama-sama mendoakan perkara membabitkan nama dan penjenamaan itu dapat diselesaikan secara permuafakatan.

“Peminat Search memang ramai. Jadi, tidak dinafikan ada yang berada di pihak kami dan ada juga sokong mereka. Tetapi ketika isu ini hangat, saya sibuk menguruskan beberapa perkara membabitkan hal peribadi, selain waktu itu tiada mood untuk ‘buka’ Facebook.

“Hakikatnya kami malu dan terasa apabila dihentam pihak yang tidak tahu hal sebenar. Kami semua ibarat satu keluarga. Kami harap doa saja yang baik-baik. Jangan timbulkan isu. Kami bukan nak bergaduh.

“Pasal hak seperti diperkatakan Hillary, pengasas mungkin cuma dapat main dalam satu, dua atau tiga album, tetapi saya terbabit dalam pembikinan lapan album kumpulan ini.

“Jadi, pada pendapat anda siapa yang lebih layak teruskan legasi? Secara logiknya inilah jawapannya.

“Malah, dalam album studio ke-12, Katharsis, siapa barisan yang merealisasikan buah tangan terakhir ini? Pengasas yang sudah jadi bekas anggota atau kami yang tak pernah keluar daripada kumpulan ini?” katanya.

Pada masa sama, mereka turut menegaskan, belum terfikir untuk membawa isu nama kumpulan diguna pakai Amy dan Nasir yang sudah mengundurkan diri itu ke mahkamah, sebaliknya masih terbuka hati memberi restu sehingga semuanya dapat diselesaikan secara baik.

Kata Noordin atau lebih dikenali sebagai Din, dia tidak berniat untuk membolot ‘aset’ kumpulan tersebut, namun sekadar mengendalikan Search sebagai pentadbir yang perlu digalas berikutan tindakan pihak berkaitan sendiri terutama selepas Amy selaku vokalis bergerak solo.

“Kalau dia masih mahu guna nama Search pun kita bagi restu. Memang boleh undang-undang tentukan, tetapi kami harap tidak sampai ke situ (mahkamah) sebab kami enggan berbalah. Saya pun cuma nak tadbir kumpulan ini sebab pengurusan sebelum ini tak bagus.

“Cuma ikut rasional, kita tak perlu pergi mahkamah bagi tentukan siapa berhak sebab kami berdua tak pernah keluar Search.

“Umum mengetahui siapa yang berundur. Apabila seorang keluar (Amy), takkan tiga lagi tak berbuat apa-apa? Kami kena jana pendapatan untuk hidup.

“Kami juga tak pernah menolak mereka (Amy dan Nasir). Kita tak tahu akan datang jadi apa, kita berharap sajalah. Kami terpaksa teruskan juga pergerakan Search kerana kumpulan ini masih punya peminat tegar yang ramai, rugi kalau kita tak teruskan,” katanya.

Sementara itu, vokalis baharu kumpulan legenda tersebut, Denden yang tular dalam program blind audition The Voice Bulgaria baru-baru ini juga bakal terbabit dalam penerbitan album baharu nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI