PENGGUNA yang terpaksa berhenti di lorong kecemasan terutamanya di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) perlu mengambil langkah-langkah keselamatan seperti menyalakan lampu kecemasan sebelum bertindak mengosongkan kenderaan.
Para penumpang perlu menunggu di belakang penghadang jalan raya atau tempat selamat jauh dari laluan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Pengguna PLUS yang mengalami kesulitan kecil atau terkandas di lorong kecemasan supaya segera menghubungi talian khas bagi mendapatkan bantuan PLUSRonda secara percuma.
Selain itu, sesebuah kenderaan hanya dibenarkan menggunakan lorong kecemasan apabila dalam keadaan kecemasan seperti berlaku kemalangan atau mengalami kerosakan.
—————————————————————————————————————————————————-
KEMALANGAN ngeri yang berlaku kepada Hafizi Ismail, 32, kira-kira 13 tahun lalu masih tersemat rapi dalam kotak pemikirannya.
Peristiwa hitam di Pendang, Kedah sewaktu menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) itu telah memberi impak besar dalam hidupnya.
Pada malam kejadian, dia yang ketika itu berusia 19 tahun menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari rumahnya di Yan menuju ke Universiti Utara Malaysia (UUM). Dia ke UUM pada malam itu adalah untuk melihat lokasi temu duga akhir bagi pengambilan pengajian perguruan yang bakal dihadiri pada minggu berikutnya.
Malangnya, sewaktu melalui kawasan Pendang, Hafizi telah melanggar dari arah belakang sebuah kereta yang sedang berhenti di lorong kecemasan.
Memandangkan ketika itu Hafizi menunggang pada kelajuan lebih 100 kilometer sejam, impak perlanggaran itu telah menyebabkan kecederaan parah kepada dirinya.
“Saya betul-betul tidak perasan ada sebuah kereta sedang berhenti di lorong kecemasan. Kebetulan ketika itu, hujan rintik-rintik dan laluan di situ agak gelap.
“Disebabkan perlanggaran itu, tengkuk, tangan kiri dan paha kiri saya patah. Sehingga kini, saya masih trauma apabila melalui kawasan itu,” ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Bapa kepada dua cahaya mata itu memaklumkan, dia tidak meletakkan kesalahan kepada pemandu kereta mahupun pihak PLUS dalam kejadian itu. Sebaliknya, menyifatkan ia berlaku akibat kelalaian diri sendiri kerana gagal memperlahan dan mengelak motosikalnya daripada kereta yang sedang berhenti di laluan kecemasan.
“Saya sepatutnya lebih peka dengan kehadiran kenderaan yang berhenti di lorong ini. Ia memang dibuat khusus untuk kenderaan yang berhenti akibat kecemasan,” ujarnya.
Tragedi yang menimpa Hafizi merupakan satu contoh kemalangan yang kerap berlaku di lorong kecemasan.
Kemalangan tragis terbaharu yang berlaku di lorong kecemasan adalah peristiwa kehilangan 10 nyawa berhampiran kawasan Rehat & Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Elite menghala ke Shah Alam, Selangor.
Dalam kejadian pada malam 18 Disember lalu itu, sebuah treler dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan selepas salah satu daripada kenderaan tersebut mengalami kerosakan.
Ekoran kejadian itu, pelbagai persoalan bermain dalam minda para pengguna jalan raya mengenai tahap keselamatan mereka apabila berada di lorong kecemasan.

PETUGAS PLUSRonda sentiasa bersiap siaga dalam membantu pengguna jalan raya yang berdepan dengan kecemasan seperti kerosakan kenderaan.
Adakah lorong kecemasan di negara ini selamat digunakan? Apakah prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi ketika menggunakan lorong berkenaan?
Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohamed Idid berkata, pengguna yang terpaksa berhenti di lorong kecemasan perlu mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Berdasarkan kajian kami, kebanyakan kemalangan berlaku di lorong kecemasan boleh dielakkan dengan mengambil langkah keselamatan yang sepatutnya,” katanya.
Menurutnya, sesebuah kenderaan hanya dibenarkan menggunakan lorong kecemasan apabila dalam keadaan kecemasan seperti berlaku kemalangan atau mengalami kerosakan.
Dia menegaskan, kenderaan yang berada di lorong itu harus menyalakan lampu kecemasan sebelum bertindak mengosongkan kenderaan dengan para penumpang perlu menunggu di belakang penghadang jalan raya atau tempat selamat jauh dari laluan.
“Jangan sesekali duduk di dalam kenderaan apabila anda berada di lorong kecemasan. Walaupun panas atau hujan sekalipun, anda perlu keluar dari kenderaan berkenaan. Pengguna juga dinasihatkan supaya menyalakan lampu isyarat kecemasan bagi memberi amaran kepada pemandu lain,” katanya.
Syed Mohamed Idid menasihatkan pengguna PLUS yang mengalami kesulitan kecil atau terkandas di lorong kecemasan supaya segera menghubungi talian khas bagi mendapatkan bantuan PLUSRonda secara percuma.

KAKITANGAN PLUSRonda dilengkapi kemahiran asas membaiki kenderaan antaranya menukar bateri dan menyelesaikan beberapa masalah kecil.
PLUSRonda merupakan sebuah unit Polis Bantuan yang menawarkan khidmat membaiki kerosakan kecil, menunda kenderaan ringan ke kawasan selamat dan pengurusan trafik.
Pengguna PLUS boleh mendapatkan PLUSRonda dengan menghubungi talian 1800-88-0000 atau menekan butang kecemasan dalam aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma.
“Kami mempunyai seramai 574 anggota PLUSRonda yang sedia berkhidmat sepanjang masa. Pasukan ini dilengkapi 125 pacuan empat roda, 35 trak tunda dan 39 motosikal.
“Pasukan ini akan tiba ke kenderaan anda dalam tempoh kurang 30 minit selepas laporan diterima.
Namun, sekiranya terdapat laporan bertindih pada satu masa, maka waktu menunggu mungkin akan mengambil sedikit masa.
“Unit PLUSRonda ini boleh membantu selesaikan kerosakan seperti menukar tayar, jumper bateri dan beberapa lagi masalah kecil. Semua anggota ini dilengkapi kemahiran asas membaiki kenderaan.
Sekiranya kereta alami kerosakan teruk yang tidak boleh dibaiki segera, unit PLUSRonda kami boleh menunda kenderaan anda ke R&R atau plaza tol berhampiran,” katanya.
Menurutnya, pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan major pula disarankan menghubungi syarikat penyedia insurans masing-masing bagi mendapatkan khidmat trak tunda ditawarkan.
Syed Mohamed turut melarang pengguna mengambil jalan mudah dengan berusaha membaiki sendiri kerosakan di lorong kecemasan atau hubungi mekanik bagi mendapatkan bantuan.

“Walau apapun jadi, anda harus menunggu bantuan daripada kami atau syarikat insurans. Jangan sesekali cuba tukar tayar atau baiki kerosakan bersendirian di lorong kecemasan.”
“Ia sangat berbahaya kerana kemalangan boleh berlaku tanpa diduga. Lagi pula, kenderaan yang menggunakan PLUS dipandu pada kelajuan had laju lebuh raya yang lebih tinggi berbanding jalan biasa,” tuturnya.
Sementara itu, Pensyarah Psikologi Trafik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, kemalangan di lorong kecemasan berlaku disebabkan sikap pengguna jalan raya itu sendiri.
Katanya, golongan tersebut enggan mengambil peduli atau mematuhi SOP sekiranya terpaksa menggunakan lorong kecemasan apabila kenderaan mengalami kerosakan.
“Saya tidak pastilah pengguna jalan raya di negara ini kurang kesedaran atau memang betul-betul tidak tahu SOP menggunakan lorong kecemasan. Kalau tahu, mereka mesti ikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, lebih teruk apabila ada pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan bagi membantu kereta atau motosikal alami masalah di lorong kecemasan. Ujarnya, tindakan itu meskipun berniat murni, namun tidak sepatutnya berlaku kerana akan menyebabkan kehilangan nyawa lebih ramai apabila kemalangan berlaku.

“Saya sedar orang di Malaysia ini ramai prihatin. Apabila ada kereta rosak di tepi jalan, mereka berhenti tolong. Tetapi mereka tidak tahu sebenarnya tindakan itu salah. Sepatutnya, mereka perlu membiarkan kereta rosak tersebut menunggu bantuan daripada peronda lebuh raya atau trak tunda,” katanya.
Rozmi menegaskan, sudah tiba masanya Jabatan Pengangkutan Jalan Raya memberi penekanan kepada SOP penggunaan lorong kecemasan di dalam modul ujian memandu.
Katanya, langkah tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman para pengguna jalan raya mengenai penggunaan lorong kecemasan yang betul.














