fbpx

3 peniaga dikesan jual minyak masak peket bersyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai KPDNHEP (kiri) melakukan penyamaran ketika membeli minyak masak di sebuah kedai di Pasir Mas. - FOTO: IHSAN KPDNHEP KELANTAN

KOTA BHARU – Langkah penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyamar sebagai pembeli berjaya mengesan tiga peniaga yang menjual minyak masak peket secara bersyarat.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd. Rahman berkata, ketiga-tiga kes penjualan minyak masak peket bersyarat itu masing-masing melibatkan sebuah premis di Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.

“Tindakan ke atas mereka diambil hasil pemeriksaan anggota penguat kuasa melakukan penyamaran sebagai pembeli untuk mengesan aktiviti terbabit selama tiga hari yang berakhir semalam.

“Kita dapati tiga peniaga tersebut mengenakan syarat supaya pelanggan membuat pembelian barangan runcit lain sebelum dibenarkan membeli minyak masak bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga peniaga tersebut akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tidak sah dalam penjualan barangan kawalan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sama ada mereka akan dikenakan kompaun atau sebaliknya.

“Sekiranya dituduh mahkamah dan sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu, manakala bagi perbadanan boleh didenda sehingga RM2 juta,“ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 68,897 premis telah diperiksa dan KPDNHEP telah mengeluarkan sebanyak 903 tindakan mengikut pelbagai akta.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, KPDNHEP turut merampas pelbagai barangan kes dengan nilai lebih RM3 juta, selain sebanyak 717 tindakan kompaun berjumlah RM497,350 dikeluarkan terhadap peniaga di bawah pelbagai akta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI