fbpx
KOLEKSI berkonsep haute- street wear ini boleh digayakan secara formal, santai atau kasual.

Koleksi identiti Melayu untuk pasaran global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUSANA Melayu cukup indah dan gah digayakan sepanjang zaman sehingga keunikannya itu menjadi inspirasi kepada para pereka masa kini untuk menyuntik elemen tersebut pada rekaan mereka.

Salah seorang pereka tersebut, Muhammad Za­ffir Mohd. Najib tampil dengan rekaan koleksi kapsul Musim Bunga dan Musim Panas 2022 yang mengangkat keindahan identiti Melayu.

Menerusi koleksi yang diberi nama Roots itu, Muhammad Za­ffir telah mengolah rekaan tersebut dengan memberi nafas baharu agar ia bertepatan dengan objektif penghasilannya iaitu untuk pasaran antarabangsa, pada masa sama mengangkat budaya Melayu.

Menurut pereka muda itu, dia cuba mengolah rekaan tersebut agar tampil segar dan unik supaya boleh diterima di peringkat antarabangsa kerana sasaran utama koleksi tersebut adalah untuk pasaran luar negara terutamanya Eropah.

REKAAN Muhammad Zaffir ini mengguna warna neutral yang mudah disuai padan dengan rona lain.

“Saya mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan koleksi ini yang berkonsepkan adat Melayu seperti bersongkok, berbaju Melayu dan berkain pelekat.

“Unsur utama yang jelas dalam koleksi ini adalah elemen kain pelekat dipilih menjadi corak dalam setiap helaian rekaan tersebut,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Menariknya, Muhammad Za­ffir turut menghasilkan aksesori untuk digayakan bersama persalinan tersebut yang diberi nama soncap iaitu direka dengan gabungan songkok dan topi.

Tambah anak kedua daripada tiga beradik itu, koleksi Roots itu didatangkan dengan lapan gaya yang memberi peluang kepada si pemakai untuk menyuai padan dengan apa jua persalinan lain mengikut kreativiti masing-masing.

Koleksi uniseks itu juga menggunakan warna-warna neutral atau ‘selamat’ yang mudah untuk disuai padan dengan rona-rona lain.

“Saya merupakan pereka fesyen avant-garde, maka identiti tersebut dikekalkan dalam setiap koleksi. Ia diolah agar busana yang dihasilkan itu boleh jual di mana-mana, begitu juga mudah untuk digayakan ke pelbagai acara.

“Koleksi yang berkonsep haute-street wear ini boleh digayakan secara formal, santai atau kasual mengikut tujuan pemakai itu sendiri kerana saya percaya, fesyen itu lebih kepada ekspresi seseorang dan bukannya mempunyai peraturan tertentu,” ujarnya yang buat julung-julung kalinya menghasilkan koleksi bermusim.

 

UNSUR utama yang jelas dalam koleksi itu adalah elemen kain pelekat dipilih menjadi corak dalam setiap helaian rekaan.

Jelasnya, koleksi tersebut sebenarnya terhasil menerusi program Mara In Fashion dan ia akhirnya dikembangkan untuk menjadi sebuah karya yang unik.

Mengulas lanjut mengenai cabaran untuk menghasilkan busana tersebut, Muhammad Za­ffir berkata, agak sukar untuknya menghasilkan baju uniseks yang boleh menggambarkan lelaki dan wanita dalam satu persalinan.

Oleh kerana ia untuk pasaran luar negara, pilihan saiz busana tersebut adalah menggunakan ukuran United Kingdom (UK) iaitu bermula saiz empat hingga 14 dan dijual bermula AS$110 (RM459).

Bagi pelanggan yang hendak membuat tempahan busana tersebut, boleh melayari laman web rasminya di http://za­ enjibby.wixsite.com/website.

POPULAR

BERITA BERKAITAN