fbpx

Jangan sabotaj sepak takraw Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

‘PEPERANGAN’ Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) terus berlanjutan apabila terbaharu Astaf melarang pemain Thailand untuk me­nyertai saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang dianjurkan di Malaysia pada 7 Januari ini.

Ia larangan terbaharu dilakukan Astaf selepas sebelum ini melarang pengadil perlawanan untuk mengadili saingan STL sekali gus tindakan bertali arus yang dilancarkan badan induk sepak takraw asia itu menimbulkan reaksi kurang senangan peminat sukan sepak takraw di Malaysia.

Malah, tindakan Astaf dilihat kini menjadi isu peribadi yang mahu mengheret segala pe­nganjuran sukan yang melibatkan PSM terus ‘diganggu’ meskipun sepak takraw Malaysia itu masih sah di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Pada Mei lalu, PSM disingkir daripada menjadi ahli gabungan Astaf. Ia sekali gus menyebabkan segala bentuk kursus sama ada pengadilan atau kejurulatihan, pertandingan, seminar atau pe­nganjuran aktiviti menggunakan peraturan, pengadil Astaf serta Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) adalah tidak dibenarkan.

Bekas pemain sepak takraw negara, Baharum Johar menyifatkan tindakan Astaf seolah-olah mahu mengucar-ngacirkan sukan sepak takraw di Malaysia.

“Setiap pentakbir mesti ada visi. Jika Astaf buat macam ini, ia adalah untuk mematikan sukan ini kehadapan. Kita sebagai negara yang unggul perlu bangkit pertahankan permainan ini dan kejohanan STL.

“Menjadi persoalan kepada saya, kenapa Astaf bertindak sedemikian? sudah pastinya, tiada memberi manfaat kepada pihak Astaf sendiri.

“Mereka tidak boleh menganjurkan kejohanan terbaik seperti ini dan ia adalah sifat kecemburuan kepada sukan kita sendiri. Mereka hanya nak tunjukan kuasa mereka sahaja,” katanya.

Pendapat sama turut diutarakan pengurus pasukan Sela­ngor Piston, Syahril Mohd. Rashid yang menegaskan, Malaysia te­lah memainkan peranan terbaik dengan mewujudkan STL bagi mengembangkan sukan tersebut pada tahap terbaik.

“Gangguan yang ditimbulkan ini telah mengganggu gugat persepsi terutama penonton yang ingin tahu berkenaan sukan sepak takraw ini.

“Sepatutnya Astaf perlu menyokong bukannya menghentam. Buat apa nak kacau dan terlalu sibuk. Jadi, melalui STL ini kini berada pada tahap yang lain.

“Kerana kegoaan dan tiada kesefahaman dan ia akan merosakkan segala perancangan yang dibuat.

“Saya harap pihak Astaf dan PSM dapat berbincang mengenai masalah ini demi kebaikkan serantau. Bagi saya ini sukan sepak takraw adalah milik kita, jadi kita perlu pertahankan,” ­katanya.

Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz turut mengakui soal pengadil tiada menjadi masalah buat mereka kerana Malaysia memiliki barisan pengadil kebangsaan yang mencukupi bagi mengendali saingan STL.

“Mereka kena tahu bahawa di Malaysia ada pengadil peringkat kebangsaan, iaitu pengadil kelas satu hingga tiga yang akan me­ngadili Liga Perdana STL.

“Liga Divisyen Satu STL juga akan diadili oleh pengadil di pe­ringkat kebangsaan. Jadi tiada masalah untuk kita menganjurkan STL,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI