fbpx
JULIANA EVANS

Juliana Evans antara individu paling berjaya di Malaysia 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Aktres jelita Che Puan Juliana Evans berjaya melakar sejarah peribadi apabila tersenarai sebagai antara individu paling berjaya di Malaysia bagi tahun 2021 menurut sebuah ensiklopedia biografi terbitan BritishPedia tahun lalu.

Juliana, 33, menyifatkan perkara tersebut satu pengiktirafan dan hadiah paling bermakna buat dirinya sebagai pembuka tirai 2022. Wanita yang mesra disapa Jue itu juga mengakui terkejut apabila diberitahu dirinya tersenarai dalam kelompok individu paling berjaya sebaris dengan nama-nama besar lain seperti  Syed Saddiq (bekas Menteri Belia dan Sukan) dalam ensiklopedia berkenaan.

“Alhamdulillah memang saya tidak menyangka tentang pengiktirafan sebesar ini. Perkara ini saya pandang sebagai satu bentuk penghargaan terhadap pencapaian kehidupan termasuk kerjaya dan bisnes yang diusahakan selama ini.

“Bila mendapat e-mel tentang perkara ini pada akhir November tahun lalu, hilang kata-kata tetapi semangat saya untuk menyebarkan aura positif dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk terus berjaya semakin berkobar-kobar,” kata pelakon filem Hantu Bonceng itu kepada Kosmo! Online.

Katanya lagi, buku tersebut sama seperti kamus tetapi menyenaraikan wajah-wajah individu berjaya yang disertakan dengan biodata, kerjaya dan pencapaian hidup.

“Buku ini sama seperti kamus tetapi bezanya ialah diisi dengan wajah dan biografi pendek mengenai seorang individu.

“Selepas ditanya, rupa-rupanya Encyclopaedia ini hanya boleh didapati di perpustakaan awam sahaja,” katanya lagi.

Ingin terus memberi inspirasi kepada umum, Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans, menasihatkan agar usah peduli dengan kata-kata negatif masyarakat sehingga boleh menjatuhkan semangat untuk terus berjaya.

“Sejak dahulu, saya sematkan dalam diri bahawa tidak perlu mengambil peduli semua kritikan masyarakat yang suka menghakimi kehidupan orang lain.

“Nasihat saya ialah tutup sebelah mata dan hanya fokus tentang diri sendiri. Tidak perlu dihebohkan kepada umum setiap perkara yang dilakukan kepada umum sehinggalah ada pihak yang benar-benar mengiktiraf hasil kerja kita,” ujarnya.

Untuk info, ensiklopedia tersebut menerbitkan ribuan biografi mengenai tokoh-tokoh personaliti yang berjaya di Malaysia.

Terdahulu, pelakon yang pernah popular menerusi filem Kami itu berkongsi berita gembira menerusi sebuah hantaran Instagram dengan menunjukkan wajah dan biografi tentang pencapaian hidupnya tercetak dalam buku tersebut. – K! ONLINE

POPULAR