fbpx

Bermula dengan angan, kini usahawan disegani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNIAGAAN kecilkecilan yang dijalankan bermula daripada idea seorang sahabat baik di Universiti Islam Antarabangsa ketika kami berbual-bual di rumahnya.

“Sepanjang perbualan itu, banyak mengetengahkan topik hala tuju selepas tamat belajar sama ada bekerja sendiri atau makan gaji, impian dan sebagainya,” kata Siti Nur Aishah Zuhairi yang merupakan pengasas spa kecantikan bergerak, kukuonthego.

Berkongsi kisah menurut anak kelahiran Ulu Klang, Selangor ini, ketika itu, perbualan tersebut lebih terjerumus kepada angan-angan dan imaginasi mereka sebagai pelajar institusi pengajian tinggi yang dirasakan normal.

Biarpun pada waktu itu, gadis ini masih lagi di tahun akhir pengajian, namun dia bertekad untuk menjalankan perniagaan pada 2019.

Lantaran itu, menggunakan modal yang terhad, gadis itu membeli beberapa peralatan sahaja bagi memulakan perniagaan tersebut.

Siapa sangka, di saat Covid-19 melanda negara yang banyak menyaksikan pemilik perniagaan gulung tikar, Siti Nur Aishah berjaya mempertahankan perniagaan yang diusahakan sehingga ke hari ini.

HAMPIR tiga tahun bertapak, Aishah berjaya menjalankan perniagaannya sendiri biarpun ketika pandemik melanda negara.

Lebih membanggakan apabila dia juga kini mampu mengupah beberapa orang pekerja.

Selain perkhidmatan rawatan kuku (manicure) dan rawatan kaki (pedicure), dia turut menawarkan pakej urutan seluruh badan dan rawatan muka pada harga berpatutan.

Ini bagi membolehkan lebih ramai orang menikmati pengalaman memanjakan diri tanpa perlu berbelanja besar. Bagi Siti Nur Aishah, semua wanita mempunyai hak untuk menikmati masa bersendirian setelah penat bekerja.

Bukan bidan terjun, penglibatan gadis itu dalam bidang berkenaan hasil pengalamannya ketika menjadi seorang perawat kuku (manicurist) di salah sebuah spa di ibu kota.

“Sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan panggilan ke universiti, saya mencari pekerjaan sambilan dan ditawarkan latihan percuma ketika menjadi pekerja di sebuah spa di Wangsa Maju.

“Alhamdulillah, ketika itu saya dilatih daripada kosong sehingga dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

AISHAH percaya setiap wanita layak memanjakan diri setelah penat bekerja.

Kongsi Siti Nur Aishah, dia mengakui industri yang diceburinya itu mempunyai persaingan sengit, tambahan pula dengan kewujudan spa-spa yang sudah lama bertapak dan terkenal.

Begitupun, semua itu tidak menjadi penghalang buatnya untuk terus bertapak dalam industri. Bahkan, ia menjadi pembakar semangat untuk dia terus berjaya.

“Kita sedia maklum perkhidmatan yang melibatkan anggota badan harus dijaga dengan teliti. Jadi, saya mengajar staf mengutamakan kebersihan.

“Kesemua barang yang digunakan perlu melalui proses pembersihan sebelum dibawa ke rumah pelanggan. Bukan itu sahaja, tingkah laku kita dengan pelanggan juga perlu dijaga demi keselesaan mereka,” jelasnya.

Melihatkan pencapaiannya hari ini, jelas sekali Siti Nur Aishah berjaya membuktikan tidak semua mahasiswa memilih pekerjaan seperti diperkatakan umum.

Isu lambakan graduan di Malaysia yang semakin meningkat dan pekerjaan tidak bersesuaian dengan kelayakan sering membelenggu golongan tersebut.

“Di zaman yang sukar mencari pekerjaan ini, kita perlu bersikap terbuka dan bersedia untuk lari daripada bidang dipelajari. Bagaimanapun, ia terpulang kepada perancangan masing-masing.

“Apa yang pasti, seeloknya elakkan menganggur terlalu lama dan bijak mencari peluang untuk meningkatkan nilai tambah pada diri sendiri” jelasnya.

BIARPUN bisnes spa seperti rawatan kuku mempunyai banyak persaingan, Aishah percaya rezeki masih terbuka luas buatnya dalam industri itu.

Mengulas lanjut, akui gadis itu, istilah graduan manja dilihat sudah sebati dalam fikiran sesetengah individu.

Begitupun, perlu diakui, masih ramai lagi graduan melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup pada masa ini.

“Ada yang terpaksa bekerja apa sahaja atas faktor kewangan dan masalah-masalah lain. Mereka semua ada sebab-sebab tertentu dan nasib semua orang tidak sama.

“Sedikit pesanan saya untuk yang masih belajar dan bakal menamatkan pengajian agar mencuba sehabis baik untuk bina kemahiran.

“Selain itu, ambil pengalaman sebanyak mungkin, belajar daripada kesilapan dan bina hubungan yang baik dengan semua orang.

“Ini kerana, siapa tahu individu yang kita berurusan itu boleh membantu dari segi pekerjaan. Usah takut untuk keluar dari zon selesa,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI