fbpx

Ayob dilantik Pengarah Narkotik Bukit Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (kiri) melakukan simbolik penyerahan tugas kepada Ayob (kanan) sambil disaksikan Acryl Sani dalam satu majlis, hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay secara rasminya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menaruh keyakinan bahawa Ayob dapat memikul amanah yang diberi dengan cemerlang.

“Saya yakin, dengan berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Ayob mampu memikul amanah yang diberikan ini dengan cemerlang, sekali gus dapat memperkukuhkan lagi barisan kepimpinanan PDRM dalam mengharungi apa jua cabaran yang mendatang.

“Saya dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ayob Khan di atas pelantikan sebagai pengarah JSJN serta isterinya sebagai pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) JSJN yang baharu,” ujarnya ketika berucap.

Terdahulu, Majlis Serah Terima Tugas dan Pemakaian Pangkat Pengarah JSJN Bukit Aman telah berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Datuk Razarudin Husain telah menyerahkan tugas dan tanggungjawab sebagai Pengarah JSJN kepada Ayob dengan disaksikan Acryl Sani.

Majlis Serah Terima Tugas tersebut turut melibatkan penyerahan jawatan Pengerusi Perkep JSJN, Datin Zainah Othman kepada Senior Asisten Komisioner (SAC) Datin Zalena Mohd. Ariffin dengan disaksikan oleh Pengerusi Perkep Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd. Isa.

Dalam majlis sama turut berlangsung Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 50 pegawai dan anggota PDRM bagi menghargai jasa dan kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara semasa era darurat serta insurgensi komunis. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI