fbpx

Azam, impian Naim Daniel, Aina Abdul menuju 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAIM DANIEL & AINA ABDUL

AINA Abdul dan Naim Daniel kedua-dua mereka ada persamaan. Sama hebat, sama berbakat besar.

Paling ketara, dua figura yang sudah cukup dikenali dalam gelanggang seni suara itu miliki Sumpah, single berhantu yang mengangkat nama mereka sebagai penyanyi.

Masing-masing sedang mekar dan disebut-sebut dek bakat seni luar biasa dalam pembuluh darah mereka.

Jika 2021 yang melabuhkan tirai semalam telah menyaksikan sejalur sejarah indah dalam pedih buat mereka, kehadiran 2022 yang baru menjengah pula bakal menjadi trek masa depan untuk sebuah lagi lakaran penuh makna dalam kehidupan dan karier masing-masing.

Aina penat!

Jika disorot kembali penglibatan Aina, 28, dalam arena seni suara, bukan setahun dua anak jati kelahiran Negeri Sembilan itu cuba menapak melakar jejaknya.

Bermula dengan langkah beraninya menyertai Mentor Legend tujuh tahun lalu, di situ jugalah Aina mula memberikan salam perkenalan lantas memahat namanya sebagai anak seni.

Namun, entah di mana silapnya, usai meraih gelaran naib juara program tersebut, namanya bagai ghaib ditelan waktu.

PELANTUN lagu Sepi ini menyifatkan tahun 2021 merupakan tahun kejayaan dan kemuncak kerjayanya sebagai anak seni.

Langkahnya ibarat terhenti di titik garisan awal. Senyap, sepi dan sunyi. Itulah yang berlaku kepada Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani detik itu.

Itu susuh berduri yang melingkari perjalanan awal pemilik nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani detik itu.

Namun sejak dua tahun lalu, Aina bangkit sekali gus mencuci kesilapan lama dan fokusnya terhadap nyanyian benar-benar berhasil.

“Ya. Itu silap saya sendiri. Lama saya diamkan diri di waktu awal kerjaya seni saya mula terbit. Saya akui itu semua silap saya. Tapi saya ada sebab tersendiri.

“Tapi sekarang saya bangkit dan tebus kesilapan lampau. Sekarang dah tiada erti main-main,” katanya ketika ditemui HibGlam dalam satu sesi fotografi khas sempena tahun baharu 2022.

Meneruskan perbualan, pelantun lagu Semalam itu menyifatkan tahun 2021 sebagai tahun kejayaan, dalam masa sama tempoh paling penat dalam hidupnya.

Ironinya, 2021 juga menyimpan momen bahagia menyaksikan keberadaan Aina di kemuncak kerjaya seninya sebagai penyanyi.

“Alhamdulillah. Saya sendiri tidak sangka rezeki yang Allah berikan sampai begini rupa. Mungkin ini habuan buat diri ini yang tidak pernah rasa putus asa dalam karier.

“Jatuh, episod luka, kisah peribadi dan lain-lain itu ada. Tapi sampai bila harus begitu? Saya sendiri ada peminat yang sentiasa ada waktu susah dan senang. Jadi mereka semua tanggungjawab saya.

“Tanpa mereka, mana mungkin saya akan berdiri seteguh begini hari ini. Terima kasih semua,” katanya.

Tiada pilihan

Ditebak mengenai letih dan sukar menjadi seorang Aina, anak didik kepada Ratu Rock Malaya, Ella satu ketika dahulu mengakui perkara tersebut.

Sejak dua tahun lalu hinggalah ke hari ini, dia tiada langsung istilah rehat apatah lagi bersenang-senang menikmati waktu senggang.

“Jujur memang penat jadi seorang Aina Abdul. Lebih-lebih lagi sekarang ini anak seni sudah dibenarkan untuk kembali bekerja dan mencari rezeki.

“Kalau ikutkan saya nak je berhenti dan keluar daripada semua ini, tapi saya tiada pilihan, saya tetap kena teruskan. Ini janji saya, Ini juga periuk nasi saya,” ujarnya.

AINA mengakui dia terlalu penat dengan kerjaya seninya hingga tiada waktu rehat buat diri sendiri sampai ke saat ini, namun dia tiada pilihan kerana itulah kecintaannya.

Bercerita sedikit mengenai perancangan tahun baharu, Aina bakal hadir dengan sebuah album penuh sebagai tanda penghargaan buat peminat.

Seperti lazimnya, Aina juga bakal hadir dengan lebih banyak single pelbagai genre yang lebih segar termasuk kolaborasi dengan beberapa penyanyi lain.

“Album penuh itu memang salah satu impian yang sudah lama saya tanam dan idamkan.

“Showcase yang baru berlangsung beberapa minggu lalu itu juga sebenarnya sebagai ‘persediaan’ untuk saya tampil dengan konsert saya sendiri nanti. Siapa tahu kalau sudah sampai masanya,” tuturnya seraya meminta doa dan sokongan semua.

Doa rezeki, kematangan Naim

PERJALANAN kerjaya penyanyi juga pelakon Naim Daniel sepanjang tahun 2021 juga boleh dikira cukup cemerlang.

Biarpun banyak perancangan tergendala dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Oktober lalu, Naim masih berfikiran optimis.

Ternyata, jiwa dan pendekatan anak muda berusia 24 tahun itu lebih matang berbanding usia. Banyak hal yang tercetus dari bibirnya cukup bernas.

Penyanyi yang kini selangkah ke alam usahawan menerusi francais BubbleBee itu mempunyai hujah tersendiri dan tidak sekadar omong kosong, terutama berdasarkan lontaran kritik sosial dalam Instagramnya.

Album penuh

Membawa misi tahun 2022, Naim atau nama lengkapnya Muhammad Naim Daniel Baharin sebenarnya ada banyak azam yang ingin dicapai.

“Sebenarnya azam saya banyak. Selain azam untuk tahun 2022, ada juga azam tahun lalu (2021) yang belum lagi direalisasikan,” katanya.

BIARPUN banyak perancangan yang diatur pada 2021 tergendala, Naim tidak pernah patah semangat untuk mencapai impian yang belum terlaksana di tahun 2022.

Jelas Naim, antara perkara yang difikirkan pada tahun 2022 adalah untuk lebih menjadi ‘agresif’ dalam bidang lakonan memandangkan banyak projek yang dirancang sebelum ini tertangguh kerana PKP.

Kalau diikutkan, dia pernah merancang untuk mengeluarkan sebuah album penuh pada 2021, namun tidak kesampaian.

“Projek tersebut tergendala kerana beberapa kekangan antaranya PKP.

“Jadi saya berharap boleh teruskan agenda tersebut pada 2022, sekali gus merealisasikan impian saya untuk mengeluarkan sebuah album penuh memuatkan 10 buah lagu baharu,” kata jejaka yang memulakan kerjaya seninya sebagai pelakon cilik itu.

Selain berharap terus diberikan kesihatan terbaik, dia percaya setiap apa yang dilakukan pasti mempunyai cabaran dan perlu diharungi dengan tekad jitu.

Antara azam lain yang hendak dicapai adalah untuk melihat bukan sahaja dirinya, bahkan juga orang lain menjalani kehidupan yang lebih baik daripada semua segi.

“Saya mahu melihat kita semua mengharungi kehidupan yang lebih baik dari semua segi. Harap-harap di tahun 2022, tidak lagi muncul benda-benda yang kurang menyenangkan seperti tahun lalu.

“Semoga anak-anak seni juga mempunyai lebih banyak peluang untuk bekerja dan mencari rezeki dalam waktu pandemik yang kita sendiri tidak tahu bila akan berakhir,” tegasnya.

Jodoh

Menyentuh sedikit soal kehidupan peribadinya, Naim memang tidak pernah dikaitkan dengan gosip bersama mana-mana wanita.

Jika tentang jodoh (perkahwinan), Naim meletakkan perkara tersebut mungkin dalam senarai ke-70 atau ke-100 dalam hidupnya.

Bukan menolak jodoh, namun baginya masih terlalu awal memikirkan perkara tersebut sementelah usia masih muda.

TAHUN 2022 dianggap sebagai tahun untuk Naim terus melakar kejayaan dalam bidang seni.

“Saya tidak menolak jodoh tetapi tidak mencari. Siapa yang tidak mahu berkahwin? Rasanya masih terlalu awal. Buat masa ini, prioriti saya ialah kerjaya.

“Dunia nyanyian saya baru sahaja bermula. Banyak lagi yang masih belum dicapai,” katanya.

Namun, kata Naim, jika 2022 mempertemukan dirinya dengan calon isteri, dia tidak menolak untuk mengenali wanita itu dengan lebih dekat.

“Saya tidak tahu mungkin di tengah-tengah perjalanan tahun 2022 nanti saya jumpa seseorang, saya tidak menolak untuk mengenalinya,” jelas Naim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI