fbpx

Bekas pengurus dihukum gantung bunuh kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sobri ditemani Khairul Naim selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - FOTO: NORHAYATI YAHAYA

SHAH ALAM – Perbuatan seorang bekas pengurus syarikat binaan membunuh kekasihnya dengan 28 tikaman, tiga tahun lalu berbalas apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini

Hakim Datuk Abd. Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Sobri Abdul Wahab, 43, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Abd. Halim dalam penghakimannya menegaskan terdapat empat elemen perlu dibuktikan iaitu berlaku kematian dengan kematian disebabkan kecederaan, kematian disebabkan tertuduh dan dilakukan dengan niat.

“Setelah meneliti segala hujahan kedua-dua pihak dan menganalisis saksi keseluruhannya didapati terdapat keraguan keterangan diberikan tertuduh sendiri dengan pembelaan tertuduh lebih kepada penafian.

“Penyakit Skizofrenia tidak menganggu dan bukan penyebab kepada perlakuan tertuduh sewaktu kejadian. Perbuatan bunuh dilakukan tertuduh dalam keadaan penuh sedar,” jelasnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang perempuan warga Indonesia, Gusnima, 38, di sebuah apartmen di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 6 petang hingga 8 malam, pada 10 Mac 2018.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak telah mengemukakan 14 saksi pendakwaan sepanjang prosiding bermula 11 Jun 2018.

Sementara, pembelaan diwakili Peguam Khairul Naim Rafidi dan Peguam Farida Mohammad menampilkan seorang saksi serta tertuduh yang memberikan keterangan di kandang saksi.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Gusnima yang juga pembantu kantin sekolah ditemui mati dibunuh dengan 28 tikaman selepas terlalu mendesak kekasihnya berkahwin dengannya dalam kejadian di sebuah apartmen di Bukit Jelutong, 10 Mac 2018.

Dalam kejadian pukul 8.25 malam itu,mangsa yang berasal dari Medan, Indonesia mempunyai kesan tikaman iaitu 14 di leher, lima di belakang badan, empat di perut, tiga di rusuk kiri dan dua lagi di tengkuk. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI