fbpx

PSM berhak anjur STL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PSM mempunyai hak untuk menganjurkan STL pada bulan depan walaupun badan induk itu bukan lagi ahli gabungan Astaf.

PEMINAT sepak takraw Malaysia boleh menarik nafas lega selepas Pesuruhjaya Sukan (PJS) memberi ‘lampu hijau’ kepada Persatuan Sepak­takraw Malaysia (PSM) untuk menganjurkan saingan Liga Sepak Takraw (STL) bulan depan.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd. Yusof me­negaskan, walaupun badan induk itu bukan lagi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf), namun PSM tiada sebarang masalah untuk menganjurkan STL, malah boleh menggunakan khidmat pengadil yang diiktiraf oleh PSM sendiri.

Sebelum ini, kesemua pengadil di bawah Astaf dan pengadil Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) tidak dibenarkan mengadili saingan STL yang dijadualkan berlangsung mulai 7 Januari hingga 27 Mac 2022.

“Walaupun PSM disingkirkan daripada Astaf, namun ia tidak menjadi masalah buat PSM untuk menganjurkan kejohanan sendiri terutama melibatkan program pembangunan di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

“PSM tidak perlu mematuhi perlembagaan asal dan itu jelas. Pada pandangan saya, untuk kejohanan STL ini adalah kejohanan tempatan dan Astaf tidak ada kesan kepada pe­nganjuran STL.

“Mengenai pengadil perlawanan, PSM boleh menggunakan pengadil perlawanan yang dilesenkan oleh pihak PSM sendiri tanpa melibatkan Astaf. Saya rasa tiada masalah, malah ia membantu pemba­ngunan di peringkat akar umbi dan pembangunan sepak takraw negara.

“PSM adalah badan sukan berdaftar di Malaysia, selagi PJS tidak membatalkan ­pendaftaran, maknanya PSM boleh adakan apa-apa akti­viti sepak takraw,” katanya semalam.

Di sebalik kemelut berpanjangan antara PSM dan Astaf, Ibrahim menggesa supaya badan induk itu menyegerakan mesyuarat agung tahun (AGM) bagi memilih barisan kepimpinan baharu bagi persatuan tersebut.

“Saya berharap PSM akan dapat menyegerakan AGM bagi pemilihan kepimpinan baharu yang dipersetujui. Ini akan mendorong perkembangan lebih baik dan buat persiapan kejohanan Sukan SEA pada masa akan datang.

“Usaha ini juga boleh mendorong kemasukan semula PSM ke dalam Astaf nanti. Saya harap AGM dapat di­segerakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI