fbpx

Thailand raikan suntikan vaksin Covid-19 ke-100 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Agensi-agensi dan pihak terlibat diberikan plak penghargaan bagi menaikkan semangat mereka dalam meneruskan perjuangan melawan pandemik Covid-19. - NNT

BANGKOK – Pegawai kesihatan di Thailand meraikan pengumuman pemberian dos suntikan vaksin Covid-19 ke-100 juta di negara itu, dengan lebih ramai penduduk memilih untuk mendapatkan pelalian   susulan kebimbangan terhadap kemunculan varian Omicron, lapor portal berita Thaiger kelmarin.

Susulan pengumuman itu, satu majlis telah diadakan dengan agensi-agensi dan pihak terlibat diberikan plak penghargaan bagi menaikkan semangat mereka dalam meneruskan perjuangan melawan pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul turut menyampaikan anugerah khas kepada lima wilayah yang paling banyak memberikan suntikan dos pertama.

Lima lagi anugerah khas diberikan kepada lima wilayah yang paling banyak memberikan dos suntikan kepada kumpulan berisiko dijangkiti koronavirus.

Turut disampaikan adalah pengiktirafan kepada wilayah-wilayah yang melaksanakan pengurusan vaksin yang cemerlang bagi peringkat daerah.

Di sebalik  kejayaan tersebut, Anutin memberi amaran bahawa Thailand masih perlu berwaspada dalam berdepan  kemunculan varian Omicron.

Justeru katanya, pihak berkuasa Thailand kini berusaha untuk meningkatkan pemberian dos penggalak kepada penduduk negara itu selepas syarikat-syarikat pengeluar vaksin Covid-19 mengesahkan keberkesanan vaksin keluaran mereka dalam melawan varian tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI