fbpx

Pemuda dipenjara, remaja perempuan ke Sekolah Henry Gurney dera bayi 16 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA PILAH – Seorang lelaki dihukum penjara, manakala remaja perempuan yang bersekongkol dihantar ke sekolah akhlak Henry Gurney oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mereka mengaku bersalah mendera bayi berusia 16 bulan.

Tertuduh, Muhammad Afiq Abdullah, 23, dan remaja perempuan berusia 18 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya secara bersama didakwa melakukan penganiayaan terhadap seorang bayi berusia 16 bulan hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di bahagian kepala, mata, badan dan juga tapak kaki.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Felda Bukit Jalor, Tampin di antara 3 hingga 25 Ogos lalu.

Kedua-duanya dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Susulan pengakuan bersalah itu, Norma menjatuhkan hukuman 24 bulan penjara dan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun ke atas Muhammad Afiq.

Remaja perempuan pula, diperintahkan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 tahun mengikut Seksyen 76 Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan terhadap pasangan itu dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kosmo 3 September lalu melaporkan sepasang suami isteri ditangkap polis susulan kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan di Felda Bukit Jalor Air Kuning Selatan yang dilaporkan berlaku 25 Ogos lalu.

Polis telah mendapat laporan dari pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan yang memaklumkan telah menerima seorang pesakit berusia 16 bulan dalam keadaan lebam di mata dan terdapat kesan seterika di belakang badan disyaki telah didera.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab, bayi itu dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut dan diberikan bantuan pernafasan selepas mengalami sesak nafas pada 25 Ogos lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI