fbpx

Rezeki ikan besar di tiang Jambatan Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YAMAN MAN Man merakam detik manis bersama hasil laut yang diperolehnya.

TIANG bawah Jambatan Pulau Pinang sudah sinonim dalam kalangan kaki pancing tegar di negeri ini sejak bertahun lamanya, sekali gus menjadi port paling berbisa dalam kalangan ‘otai joran’.

Boleh dikatakan hampir setiap waktu, tiang jambatan yang menghubungi bahagian pulau ke tanah besar di Seberang Perai itu dipenuhi dengan kumpulan pemancing termasuk yang sanggup bermalam pada setiap hujung minggu.

Selain lokasinya yang begitu santai dan strategik, tempat berkenaan juga dikatakan menjadi habitat hidupan laut paling lumayan.
Untuk ke sana, kaki pancing akan menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan di Jeti Pak Long dan Pak Hashim di Batu Uban sejak awal pagi hingga ke tengah malam.

Seorang pemancing tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Yaman Man, 47, menyifatkan tiang di bawah Jambatan Pulau Pinang sebagai port rezeki untuk kumpulan kaki pancing yang terpilih atau bertuah.

Menurutnya, tidak semua pemancing berpeluang membawa balik spesies ikan bersaiz besar seperti kerapu, alu-alu atau barakuda, gerepoh, senangin dan siakap.

“Hanya mereka yang bertuah sahaja akan bawa naik ikan besar. Setiap kali ke situ, saya akan memilih untuk berada di tiang nombor iaitu tiang paling tinggi yang terletak di tengah jambatan.

“Saya pernah kail ikan alu-alu atau barakuda dan kerapu seberat 8 kilogram (kg), gerut-gerut, jenahak dan siakap merah melebihi berat 1 kg.

“Untuk dapat spesies ikan-ikan ini juga bergantung pada nasib serta keadaan air laut ketika itu. Saya juga akan bermalam di atas tembok tiang sekiranya air laut beralun kerana sukar untuk peroleh ikan besar,” katanya di sini baru-baru ini.

KAKI Pancing di tiang bawah Jambatan Pulau Pinang tidak pulang dengan tangan kosong, sekurang-kurangnya membawa balik seekor siakap.

Yaman Man yang juga seorang peniaga memberitahu, setiap pemancing sememangnya perlu mempunyai kemahiran atau mempelajari selok-belok cara penangkapan ikan bersaiz besar.

“Penggunaan rod, gewang berserta saiznya dan umpan juga memainkan peranan penting ketika memancing.

“Saya lebih memilih menggunakan umpan udang hidup untuk ikan kerapu, gerut-gerut, jenahak dan sikap merah, manakala gewang digunakan untuk ikan besar.

“Perlu lebih berhati-hati kerana jika tersilap langkah, tali perambut akan terputus menyebabkan ikan disasarkan terlepas,” ujarnya.

Katanya, ketika ini adalah musim ikan besar berlegar di bawah jambatan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi kaki pancing, Muhamad Izzul Fikri Zainudin, 25, pula memberitahu, dia juga menjadikan tiang nombor satu dan dua sebagai lokasi ketenangan dan hobi lapangannya setiap minggu.

Jelasnya, pengalaman paling manis buat dirinya apabila berjaya menangkap sebanyak 57 ekor ikan kerapu dalam tempoh lapan jam awal tahun ini.
Kaki pancing di tiang bawah Jambatan Pulau Pinang tidak pulang dengan tangan kosong, sekurang-kurangnya membawa balik seekor siakap
“Ini adalah rekod pertama kali yang berjaya dipecah sejak usia hobi memancing ikan baru mencecah lima tahun.

IKAN Kerapu seberat lebih 8 kilogram menjadi buruan kaki pancing tegar di tiang bawah Jambatan Pulau Pinang.

“Selain kerapu, kami pernah membawa naik berpuluh-puluh ikan talang, gerepoh dan cencaru serta menjualnya kepada pelanggan tetap yang sudah menunggu di darat.

“Memang kena berguru untuk menangkap ikan bersaiz lebih besar. Perlu juga pasang taktik cara penangkapan ikan serta kemahiran menggunakan umpan dan saiz roda yang betul,” katanya yang juga seorang peniaga.

Tambah Muhammad Izzul, dia lebih gemar memilih umpan ikan temenung, belanak dan udang hidup untuk tangkapan ikan kerapu, manakala isi ikan tamban, bilis dan kasai bagi ikan senangin, gerepoh, talang serta cencaru.

Untuk ke tiang bawah Jambatan Pulau Pinang, kos perkhidmatan bot pergi dan balik ditawarkan pada harga RM10 untuk tiang 81 hingga 60, RM15 (tiang 59 hingga 25), RM20 (tiang 24 hingga 3) dan RM25 (tiang tambak tengah).

Untuk tempahan perkhidmatan bot boleh hubungi talian 017-424 9314 (Pak Long) dan 011-5502 3125 (Pak Hashim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI