PETALING JAYA – Sindiket penyeludup dikesan mengambil kesempatan dengan memperhebatkan lagi kegiatan haram pada musim banjir ketika ramai anggota pasukan keselamatan dikerahkan untuk menyelamatkan mangsa bencana.
Malah, sindiket terbabit juga licik mengesan pergerakan pihak berkuasa apabila mengubah taktik penyeludupan mereka.
Antara barang yang biasanya diseludup ialah daun ketum, rokok, pakaian, minyak masak dan bekalan makanan.
Di Rantau Panjang, sindiket penyeludupan menjadikan stor dan rumah-rumah kosong yang tidak terjejas banjir di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sebagai transit sementara untuk menyimpan barang seludup sepanjang musim tengkujuh.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi berkata, taktik itu bagi memudahkan mereka membawa keluar semua barang seludup ke destinasi yang dituju apabila situasi menjadi tenang.
“Kumpulan penyeludup akan menjadikan situasi banjir sebagai kelebihan untuk membawa keluar barang-barang mereka secara terus ke jalan darat menggunakan bot.
“Perahu yang digunakan penyeludup boleh dapat sampai ke jalan raya apabila air Sungai Golok melimpah ke tebing, sekali gus memudahkan mereka untuk memunggah barangan terlarang,” katanya.
Bagaimanapun, Azhari memberitahu, taktik itu berjaya dipatahkan pasukannya menerusi beberapa rampasan yang telah dilakukan sejak mengambil alih tugasan Op Benteng Covid-19 bermula 16 Disember lalu.
Batalion 7 PGA berjaya merampas barang seludup bernilai RM889,915 dalam pemeriksaan di sepanjang 41.8 kilometer di sempadan negara dari Rantau Panjang, Pasir Mas hingga Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Sepanjang musim bah yang melanda Rantau Panjang, PGA menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan lori untuk melakukan rondaan di kawasan penugasan Op Benteng Covid-19 yang bermula dari Pos Ibrahim Pencen sehingga Pos Tanjong di Tumpat.
“Rondaan berterusan itu bagi memastikan kawasan sempadan Malaysia-Thailand berada dalam keadaan terbaik,” ujarnya.
Menurutnya, empat buah pos kawalan PGA iaitu Ibrahim Pencen, Pak Teh Kana, Wakaf Zin dan Kaloi di Tumpat terpaksa ditutup sementara akibat banjir, namun pasukannya tetap membuat pemeriksaan sepanjang masa di sempadan Malaysia-Thailand.
Di Ipoh, Timbalan Komander Briged (Bgd) Utara PGA Kem Ulu Kinta, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, penyeludupan daun ketum kini dikesan menukar modus operandi mereka ketika musim banjir.
Katanya, penyeludup tidak lagi menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan kereta, sebaliknya dibawa menaiki lori bersaiz dua tan.
“Mungkin mereka cuba mengelirukan pihak berkuasa kerana lori biasanya membawa barangan keperluan,” ujarnya.
Katanya, dalam kejadian terbaharu, PGA menahan sebuah lori jenis Nissan Vanette yang membawa muatan 3.6 kilogram daun ketum dan pada minggu sebelumnya juga, sebuah lori jenis sama ditahan bersama ketum.
Briged Utara PGA mempunyai empat buah batalion berkekuatan kira-kira 3,000 anggota yang boleh diatur gerak secara giliran bagi melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan.
Selain itu, Mohd. Nor memberitahu, cubaan warga asing untuk menyeludup masuk secara haram ke negara ini melalui sempadan dikesan mula aktif sejak beberapa bulan lalu dipercayai untuk masuk mencari pekerjaan.
Katanya, pasukan Batalion 2 PGA baru-baru ini berjaya menggagalkan cubaan 52 warga Myanmar untuk masuk secara haram.
“Kejayaan ini hasil kawalan ketat 24 jam anggota Briged Utara PGA yang bertugas di 23 pos sempadan dan 10 pos perairan,” ujarnya. -K! ONLINE


















