fbpx

Sampah banjir Shah Alam selesai dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Longgokan peralatan dan perabot yang rosak yang diletakkan di luar rumah sekitar Taman Sri Muda hari ini. - Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Proses pembersihan ‘sampah’ banjir di 27 buah lokaliti banjir di daerah ini akan diselesaikan selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, lokasi kritikal atau tumpuan utama adalah Padang Jawa dan Taman Sri Muda.

Katanya, beliau telah hadir di Taman Sri Muda sendiri semalam dan meminta penduduk meletakkan peralatan atau perabot yang rosak di luar rumah namun tidak mengganggu laluan jentera atau lori bagi mengangkut sampah tersebut.

“Setakat semalam, sebanyak 824 metrik tan telah dikutip dan diletakkan di empat transit pembuangan sampah.

“Bantuan pembersihan dan pengutipan sampah itu turut mendapat bantuan daripada kontraktor pembersihan dari Kuala Lumpur, Kedah dan Kelantan selain KDEB Waste Management Sdn. Bhd.,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Empat transit sampah disediakan MBSA adalah di Seksyen 21 dengan keluasan kira-kira empat hektar, Seksyen 25 (1 hektar), Seksyen 31 (0.8 hektar), Seksyen 34 (0.4hektar).

Bagaimanapun, pusat transit di Seksyen 31 sudah pun ditutup kerana tapak berkenaan yang merupakan pusat pengumpulan sampah domestik boleh menyebabkan kesesakan di laluan utama.

Sementara kapasiti di Seksyen 21 pula sudah pun mencapai 95 peratus.

Mengulas lanjut, Zamani berkata, pihaknya turut mendapat bantuan pertubuhan bukan kerajaan dan persendirian sejumlah 200 kesemuanya.

“Bagi kereta-kereta tersadai, kita hanya mengalihkan ke bahagian tepi jalan atau setempat di lokaliti sama bagi memudahkan operasi perjalanan jentera pembersihan sampah.

“Sekarang ini (ramai) takut kereta dibawa lari dan saya ingin menegaskan kita (MBSA) tidak akan membawa keluar daripada kawasan tersebut,” jelasnya.

Ketika ditanya persediaan gelombang kedua, beliau menegaskan pemantauan dilakukan dari ramalan cuaca, lembangan sungai di Shah Alam dengan bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Penggunaan drone juga digunakan dan sekiranya ada kenaikan (air), pasukan kita akan pergi stesen yang telah ditetapkan bagi tindakan awal,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI