fbpx

Tersingkir bukan pengakhiran cerita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE (tengah) dan anak-anak buahnya gagal mencapai sasaran apabila tersingkir seawal peringkat kumpulan pada Piala AFF Suzuki di Singapura minggu lalu.

BEKAS pemain skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir percaya masih ada ruang yang boleh diperbaiki oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum menekan ‘butang panik’ susulan keputusan mengecewakan skuad Harimau Malaya pada Piala AFF Suzuki 2020 baru-baru ini.

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe gagal memenuhi tanggungjawab serta sasaran ditetapkan oleh FAM selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan selepas tewas kepada Vietnam dan Indonesia di Singapura minggu lalu.

Kata Jamal, kritikan yang bernas wajar dilontarkan, tetapi pada masa sama tidak adil sekiranya beranggapan kegagalan Harimau Malaya pada kejohanan bola sepak berprestij di Asia Tenggara itu sebagai kayu pengukur kepada peta hala tuju F:30.

JAMAL

“Berjaya atau tidak, F:30 bukan terletak pada kejayaan Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF Suzuki semata-mata kerana projek itu mempunyai cabang lebih luas termasuk dari segi urus tadbir.

“Jika hendak dinilai prestasi pasukan, skuad B-22 negara ­layak ke Piala Asia B-23 di Uzbe­kistan tahun depan dan ia adalah perkembangan positif. Bagi saya, kegagalan di Singapura bukan pengakhir cerita,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Jamal yang merupakan legenda skuad negara era 70-an dan 80-an percaya peminat perlu menunggu keputusan post-mortem yang akan diumumkan oleh badan induk bola sepak negara selepas ini.

“Apa yang penting, kita percaya pada proses FAM dengan menunggu laporan post-mortem dalam masa terdekat. Tidak wajar untuk mengkritik barisan kejurulatihan atau tuding jari kepada mana-mana pihak.

“Justeru, saya merayu kepada semua peminat bola sepak Malaysia supaya sentiasa bersifat positif supaya kita dapat bersama memberi pandangan dan idea bernas demi kemajuan bola sepak negara,” katanya.

Sebelum ini, terdapat kritikan bahawa Cheng Hoe wajar melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih selepas membimbing pasukan sejak empat tahun lalu, selain membantu Harimau Malaya bergelar finalis Piala AFF Suzuki edisi 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI