fbpx

‘Rumah masih tak okey, saya sewa Airbnb sekarang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LINDA Rafar antara yang turut terjejas akibat banjir yang melanda Shah Alam, Selangor.

PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi, Linda Rafar memaklumkan dia juga merupakan antara mangsa banjir yang teruk terkesan sehingga terpaksa menyewa penginapan dalam talian, Airbnb.

Linda atau nama sebenarnya, Azlinda Rafar, 43, berkata, dia dan keluarga yang menetap di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor bagaimanapun reda dengan ujian Allah SWT.

“Hari pertama banjir pukul 12 tengah hari, air dah mula naik. Beberapa jam selepas itu, bekalan elektrik terputus dan lif tak boleh pakai. Kami naik turun tangga dah empat hari.

“Memang sedih tapi kami fikir positif sahaja. Allah uji sebab sayang dan sebab Dia nak kita lagi dekat dengan-Nya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung disebabkan bencana banjir yang melanda, ahli kumpulan Elite itu bagaimanapun tidak mahu mendedahkan tentang perkara tersebut.

“Apa yang saya boleh saya cakap, saya reda dengan apa yang berlaku. Tidak ada bantuan daripada pihak kerajaan mahupun mana-mana badan kebajikan setakat sekarang.

“Rumah masih belum okey. Masih tiada bekalan air dan lif rosak. Sekarang ini, saya sewa penginapan dalam talian, Airbnb,” ujarnya.

Kata pemilik jenama LR Hijab itu lagi, apa yang berlaku merupakan teguran daripada Allah. Semua pihak perlu berlapang dada, muhasabah diri dan berhenti menuding jari siapa salah, siapa benar.

“Semua diuji. Besar periuk, besarlah kerugian. Sederhana periuk, sederhanalah kerugian dan kecil periuk, maka kecillah kerugian.

“Apa-apapun, tetap sama diuji oleh Allah dengan musibah banjir dan perkara lain,” katanya.

Terdahulu, banjir kilat sekali lagi melanda beberapa kawasan di Shah Alam berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Menurut akaun Twitter rasmi @plustrafik, setakat pukul 9.15 pagi tadi, banjir kilat telah menyebabkan penutupan beberapa lorong di tol plaza Shah Alam di Lebuhraya Elite. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI