fbpx

Walaupun di KL, hati saya ada di Lipis – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI sedih melihat keadaan banjir yang teruk melanda tempat kelahirannya termasuklah menjejaskan sekolahnya, SMK Clifford di Kuala Lipis.

PETALING JAYA – Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan kebimbangan dengan situasi banjir yang melanda beberapa buah negeri termasuk negeri kelahirannya, Pahang.

Siti menerusi muat naik dalam Instagram memberitahu, meskipun jasadnya kini berada di Kuala Lumpur, namun hatinya tetap memikirkan nasib penduduk kampung halamannya di Kuala Lipis.

“Keadaan di Kuala Lipis, Pahang. Sukar nak saya gambarkan bagaimana keadaan ini tetapi inilah dugaan buat orang kampung saya, Januari lalu juga keadaannya begini.

“Keadaan jalan untuk pulang juga menyukarkan team (pasukan) saya untuk ke sana tetapi apa yang penting adalah kami sedaya mampu akan membantu.

“Walaupun saya di Kuala Lumpur, terkekang dengan hal-hal di sini serta anak-anak saya juga tidak berapa sihat, tetapi hati saya pastinya ada di daerah Lipis,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 42, turut memanjat doa agar semua yang dilanda musibah banjir diberikan kekuatan untuk sama-sama mengharungi dugaan ini.

“Banyak kawasan terjejas, bukan hanya di bandar malah di kampung-kampung sekitar. Sekolah saya juga terjejas sama.

“Tidak kira di negeri mana, kawasan mana, semoga kita sama-sama dapat mengharungi ujian ini. Saya doakan agar kita semua diberikan kekuatan dan ketabahan,” katanya.

Kelmarin, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sanggup turun padang dengan meredah banjir di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI