fbpx

Dua beradik mengaku tidak bersalah beri rasuah RM83,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASDI Ali (tengah, belakang) bersama Amir (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor hari ini.

SHAH ALAM – Dua beradik yang juga merupakan kontraktor bebas mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memberi rasuah berjumlah RM83,000 kepada penjawat awam, tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Asdi Ali, 41, dan abangnya Amir Ali, 45, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan masing-masing dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan, Asdi yang mempunyai seorang isteri dan menanggung bekas isteri serta lima orang anak didakwa memberi rasuah berjumlah RM23,000 kepada seorang penjawat awam di antara September hingga Oktober 2020.

Dia didakwa memberikan rasuah sebagai dorongan bagi mendapatkan anggaran harga jabatan dan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih longkang tepi jalan di Jalan Hulu Bernam-Sungai Besar, membaik pulih menurap semula jalan-jalan serta kerja berkaitan di Kampung Seri Keledang dan SKC Jaya, Hulu Bernam dan kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan serta kerja berkaitan di Jalan Kampung Teratai, Sungai Choh.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Taman Templer Rawang; Kuala Kubu Bharu dan di Pekan Batang Kali, Hulu Selangor.

Abangnya, Amir yang turut berhadapan tiga pertuduhan didakwa memberi rasuah berjumlah RM60,000 kepada kakitangan awam antara Mac sehingga September 2020.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan anggaran harga jabatan untuk mendapatkan kerja-kerja projek naik taraf dan pembaikan bangunan dan infrastruktur Kolej Komuniti, Hulu Selangor; penyelenggaraan am bangunan dan pembaikan bumbung di RKK Mini Bukit Beruntung dan pembaikan dan penyelenggaraan am bangunan di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Serendah.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Kuala Kubu Bharu.

Kedua-dua beradik itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa milik tertuduh kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam bela, Hafizuddin Salehuddin yang menyebut bagi pihak peguam, Datuk Hasnal Merican memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM10,000 bagi setiap anak guamnya memandangkan Asdi yang mempunyai pendapatan RM7,000 mempunyai tanggungan yang ramai.

Selain itu, Amir pula mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit jantung dan dengan pendapatan RM5,000 sebulan, dia perlu menyara isteri, ibu dan tiga orang anak.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 kepada Asdi dan Amir (RM20,000) dengan masing-masing seorang penjamin warga tempatan selain membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 26 Januari 2022.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan tersebut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI