fbpx

Siti Nurhaliza, Datuk K redah banjir hulur bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI dan suami serta pasukannya turun padang mengagihkan bantuan keperluan kepada mangsa banjir di Shah Alam, Selangor.

PETALING JAYA – Niat ingin meringankan beban, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza turun padang meredah banjir di beberapa kawasan sekitar lembah Klang bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Siti menerusi satu hantaran Instagram dilihat menaiki kenderaan pelbagai guna melalui kawasan banjir di sekitar Shah Alam, Selangor bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K dan beberapa kakitangan lain.

Berada di lokasi kejadian, pelantun Aku Bidadari Syurgamu itu mengakui gemuruh dan hilang kata-kata melihat bencana alam yang hadir tanpa diduga.

“Ya Allah, saya tak terkata. Semoga Allah permudahkan dan lindungi mangsa-mangsa banjir.

“Gemuruh melihat betapa tingginya air banjir ini. Saya doakan semua selamat,” katanya dalam sebuah video.

Terdahulu, Siti memuat naik hantaran video ‘reels’ yang memperlihatkan dia dan suami giat menguruskan proses hantaran bantuan di gedung pasar raya besar, Mydin USJ, Petaling Jaya.

“Menerusi platform Tabung Bantuan Khas Palestin & Covid 19 yang dilancarkan sebelum ini, kami juga mengalu-alukan jika ada yang ingin turut serta memberikan sumbangan bagi mangsa banjir.

“Kita usaha apa yang terbaik dan termampu, saya juga akan meminta pihak Kita Fund untuk membuat tambahan objektif tabung tersebut kepada bantuan bencana alam.

“Terima kasih kepada pihak pasar raya kerana telah berusaha menyiapkan bungkusan makanan untuk diagihkan. Yayasan Nurjiwa kini giat untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir seperti di Shah Alam,” katanya lagi.

Semalam, pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin, 42, itu turut membuat persembahan sempena Anugerah Drama Sangat 2021 yang berlangsung di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur malam tadi.

Katanya, walaupun hujan lebat, tetapi beliau sempat sampai ke rumah dengan selamat.

Dugaan akhir tahun, sejak kelmarin beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk kawasan Lembah Klang dilanda banjir kilat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI