fbpx
Pemain Indonesia, Witan Sulaeman meraikan gol yang dilakukan oleh rakan sepasukannya untuk menewaskan Malaysia 4-1 di Stadium Nasional Singapura sebentar tadi. - Foto Facebook AFF Suzuki Cup

Indonesia ‘ganyang’ Harimau Malaya 4-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKUAD Harimau Malaya ditunjukkan ‘jalan keluar’ dengan cara memalukan selepas tewas 1-4 kepada seteru tradisi, Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Nasional Singapura sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad negara yang dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Arif Aiman Hanapi dan Kogileswaran Raj di posisi serangan.

Keputusan tersebut dilihat membuahkan hasil apabila skuad negara berjaya mendahului seawal minit ke-13 apabila Kogileswaran bijak menjaringkan gol menerusi ledakan di luar kotak penalti.

Momentum cemerlang negara diteruskan tetapi percubaan satu lawan satu yang dimiliki Syafiq sedikit tersasar ketika penjaga gol Indonesia sudah pun ditewaskan.

Tuah tersebut membuka ruang buat Indonesia untuk bangkit hasil gerakan cantik yang berjaya disudahkan oleh pemain sayap, Irfan Jaya pada minit ke-36.

Skuad Sang Garuda terus mengganas apabila Irfan sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan negara dengan gol kedua berselang enam minit kemudian untuk memberi kelebihan 2-1 ketika separuh masa pertama berakhir.

Bersambung pada babak kedua, nasib terus menyebelahi skuad kendalian Shin Tae-yong apabila giliran pemain pertahanan, Pratama Arhan hasil ledakan di luar kotak penalti pada minit ke-50.

Tersentak dengan gol tersebut, Cheng Hoe membuat pertukaran dengan memasukkan pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula, Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri Md. Fauzi tetapi dilihat gagal membuahkan sebarang hasil.

Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat tertewas buat kali keempat apabila pemain pertahanan kacukan Indonesia, Elkan Baggott menanduk masuk gol hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Evan Dimas pada minit ke-82.

Usaha skuad negara untuk menambah gol tidak berjaya dengan keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Indonesia mengesahkan status mereka selaku juara Kumpulan B selepas memiliki kelebihan jaringan berbanding Vietnam yang turut melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kemboja pada aksi terakhir sebentar tadi.

Indonesia dijadualkan bertemu Singapura manakala Thailand bertemu Vietnam di pentas separuh akhir nanti. – K! ONLINE.

POPULAR