Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
Kalau diminta untuk membuat pilihan antara dua sama ada ibu atau isteri tersayang, pilihlah ibu kerana dialah syurga bagi kita yang melahir serta membesarkan kita dengan penuh kasih sayang.
Itulah yang terjadi kepada seorang lelaki selepas membawa ibunya yang diserang strok ke rumah dan menerima layanan acuh tak acuh daripada menantu perempuannya.
Akhirnya rumah tangga mereka berantakan disebabkan sikap pentingkan diri sendiri si isteri yang mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu mertua sendiri.
—————————————————————————————————————————————————————————————————-
SELEPAS kematian bapanya, Ahmad (bukan nama sebenar) mengambil keputusan untuk membawa ibunya tinggal bersamanya di ibu kota.
Baginya, menjadi tanggungjawabnya sebagai anak lelaki untuk menjaga ibunya yang semakin dimamah usia.
“Saya hanya mempunyai seorang adik perempuan dan dia juga sudah berkahwin dan memiliki keluarga.
“Setelah berbincang dengannya, saya memilih untuk menjaga ibu kami. Ada masanya dia akan menggalas tanggungjawab itu jika saya ada hal-hal kecemasan,” jelasnya.
Ahmad berkata, dia tidak boleh meninggalkan ibunya bersendirian di kampung kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Selepas kematian bapanya, ibu Ahmad diserang strok dan sukar baginya untuk menguruskan diri sendiri.
Namun, keputusan Ahmad untuk membawa ibunya pulang ke rumah tidak disenangi isterinya Yani (bukan nama sebenar).
Katanya, ketika menyatakan untuk membawa ibu untuk tinggal bersama mereka, raut muka Yani seperti tidak bersetuju.
“Saya berasakan isteri boleh menjaga ibu memandangkan dia tidak bekerja dan hanya menguruskan anak kami seorang sahaja di rumah,” ulasnya.
Ternyata kehadiran ibu Ahmad tidak disenangi isterinya dan ia dapat dilihat dari segi cara layanannya yang agak kasar.
Jelas Ahmad, dia hanya meminta isterinya menjaga makan minum ibunya ketika dia tiada di rumah sewaktu keluarga bekerja.
Sedangkan hal-hal lain seperti yang lebih berat akan dilakukan olehnya sendiri sebelum dia pergi dan selepas pulang dari kerja.
Kehadiran ibunya di rumah itu juga menyebabkan kadangkala Ahmad bergaduh dengan isterinya.
Yani menyatakan suaminya melebihkan ibunya dalam semua hal dan mereka tiada masa untuk keluar bercuti bersama.
“Saya menyatakan ini adalah tanggungjawab saya. Sebelum ibu menghembuskan nafas terakhir, saya ingin berbakti dengan menjaganya.
“Saya mintanya bersabar. Tetapi dalam masa sama, dia menyatakan lebih baik hantar ibu ke rumah penjagaan orang-orang tua,” katanya.
Ayat itu yang membuatkan Amad hilang sabar dan dia meninggikan suara terhadap isterinya.
Ahmad perasan ibunya mengalir air mata apabila mendengar pergaduhan mereka suami isteri.
Disebabkan masalah strok juga, ibunya tidak boleh bercakap dan itu membuatkan mereka sukar untuk berkomunikasi.
Dalam pada itu, Ahmad berasa hairan ketika menyuap makanan selepas pulang kerja, ibunya begitu berselera seperti kelaparan yang amat sangat.
Dia bertanya kepada isterinya, adakah ibunya diberi makan ketika ketiadaannya di rumah.

“Dengan nada marah Yani menyatakan, dia ada memberi makan, tetapi ibu menolak.
“Pada masa sama, saya melihat ada kesan lebam di bahagian bahu ibu. Isteri menyatakan, ibu terjatuh ketika ingin diletakkan di atas kerusi roda,” jelasnya.
Curiga dengan perlakuan isterinya itu, Ahmad secara diam-diam memasang televisyen litar tertutup (CCTV) bagi memantau keadaan dalam rumah dan bagaimana ibunya dijaga.
Ternyata rasa curiga Ahmad berasas kerana isterinya tidak mempedulikan ibunya sepanjang hari.
Dia mendapati, seharian ibunya tidak diberi makan.
Apabila ibunya seakan meminta sesuatu, dia dimarahi oleh menantunya itu.
“Saya melihat sendiri bagaimana kepala ibu saya ditekan oleh Yani.
“Ini yang membuatkan saya hilang sabar dan meminta penjelasan daripada Yani. Pada mulanya dia tidak mengaku berbuat demikian, tetapi apabila saya menunjukkan bukti, dia menyalahi saya semula,” jelasnya.
Tambahnya, dia mengakui isterinya itu seorang yang keras kepala dan pada ketika itu, terjadi pertengkaran antara mereka.
Isterinya meminta Ahmad untuk membuat pilihan antara ibu atau dirinya.
Jika Ahmad memilih ibunya, Yani minta diceraikan.
“Dalam keadaan marah, saya hilang pertimbangan dan lakukan apa yang diminta olehnya.
“Pada waktu itu juga saya menjatuhkan talak kepadanya dan akhirnya kami berpisah,” jelasnya.
Bagi Ahmad, ibunya hanya satu dan dia tidak menyesal untuk melepaskan wanita derhaka itu.
Dia berasakan masih ada wanita lain di luar sana yang boleh menerima dirinya serta ibunya.















