fbpx

Sektor swasta diseru jadi pemangkin pemulihan ekonomi pasca Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ucapan Ismail Sabri yang disiarkan secara maya.

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru sektor swasta menjadi pemangkin kepada perubahan, memacu kestabilan dan menyumbang kepada matlamat bersama dalam menjadikan ekonomi negara lebih mapan.

Menurut Perdana Menteri, pembangunan semula ekonomi Malaysia bukan satu usaha mudah, justeru menjadi amat kritikal untuk semua pihak berganding bahu dalam memulihkannya kesan daripada impak pandemik Covid-19.

“Pendekatan properniagaan yang diamalkan Malaysia dibuktikan menerusi komitmen kerajaan terhadap konsep perkongsian antara awam dan swasta.

“Malaysia turut menawarkan kelebihan kepada para pelabur bukan hanya sebagai gerbang kepada rantau ASEAN, malah kepada seluruh dunia,” katanya semasa mengadakan ucapan secara maya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Ekonomi dan Teknologi China Antarabangsa 2021 (GCETS) di Batu Ferringhi di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut menyampaikan ucapan secara maya ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Duta Besar China, Ouyang Yujing.

Sementara itu, kata Perdana Menteri, beberapa organisasi antarabangsa di dalam laporan mereka turut memperakui keberkesanan polisi berkaitan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.

“Antaranya IMD World Competitiveness Center meletakkan daya saing global Malaysia pada kedudukan ke-25 daripada 64 ekonomi tahun ini.

“Selain itu, Indeks Ketersediaan Rangkaian 2016 oleh Forum Ekonomi Dunia turut meletakkan Malaysia dalam kedudukan keenam kerajaan paling celik digital daripada 139 negara ekonomi,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI