fbpx

Kes kedua Omicron di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kes Omicron kedua di negara ini selepas menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 52 sampel daripada 52 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara bagi tempoh 6 sehingga 10 Disember lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes Omicron kedua merupakan seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun warga Malaysia yang menetap bersama keluarganya di Lagos, Nigeria.

“Keputusan ujian RT-PCR Covid-19 ke atas kes (kanak-kanak perempuan itu) sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif. Kes tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember 2021 dari Lagos, Nigeria dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.

“Kes dan ahli keluarganya telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Keputusan ujian RT PCR terhadap kanak-kanak itu didapati positif Covid-19 pada 7 Disember 2021, namun tidak mempunyai gejala dan diarahkan menjalani isolasi di rumah selama 14 hari,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Khairy berkata, kontak rapat kanak-kanak perempuan itu dikenal pasti terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.

Kata beliau, semua ujian dijalankan ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu ujian sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari ke-11 menunjukkan keputusan negatif.

“Ujian RT-PCR Covid-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan. Ketiga-tiganya tidak bergejala dan diarahkan menjalani arahan kuarantin selama 14 hari.

“Bapa kes pula telah tiba di Malaysia pada 12 Disember 2021 dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta. Ujian RTPCR bapa kes pada hari ketibaan adalah negatif,” katanya.

Menurut beliau, terdapat seramai 35 orang kontak dalam penerbangan dan keputusan ujian RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan dan pada hari ke-5 bagi kesemua kontak itu juga negatif.

Bagaimanapun, kata beliau, pemantauan kes dan kontak yang dikenal pasti dilaksanakan secara menyeluruh dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan, sebanyak 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS).

“Keputusan dijangka akan diperolehi pada 17 Disember 2021,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI