fbpx
Gambar hiasan.

Kekal dijel 2 tahun pandu melulu sebabkan kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan penjara dua tahun terhadap seorang pengarah syarikat atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian seorang pengawal peribadi di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas menolak rayuan Yee Kin Sum ,30, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Dalam penghakimannya, hakim Ahmad Shahrir berkata mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan dalam dapatan Majistret yang mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mahkamah mendapati sabitan adalah selamat untuk dikekalkan selain tiada kekhilafan dalam hukuman yang dikenakan oleh Majistret dan tiada alasan untuk mengganggu gugat hukuman.

“Oleh yang demikian rayuan terhadap sabitan dan hukuman ditolak. Keputusan Majistret mengenai sabitan dan hukuman dikekalkan,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta secara melulu dan menyebabkan kematian penumpang lain dalam kereta lain, Juhan Sabturani, 37, di Kilometer 10.7 Lebuhraya MEX di sini pada 3.30 pagi, 7 Julai 2018.

Kin Sum didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi manakala perayu diwakili peguam Zulkifli Awang.

Pada 30 September tahun lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM7,000 terhadap Kin Sum selepas didapati bersalah kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

Majistret M.Saravanan menjatuhkan hukuman itu terhadap perayu, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Kin Sum dipenjara tiga bulan, jika gagal membayar denda tersebut serta lesen memandunya digantung selama tiga tahun dan butiran kesalahan disahkan pada lesen. Tertuduh membayar denda tersebut.

Semasa perbicaraan kes itu yang bermula pada seramai 2019, sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan.

Pada 7 Julai 2018, media melaporkan seorang lelaki yang berada di bahagian tempat duduk penumpang belakang maut selepas kereta yang dinaikinya bersama tiga individu lain bertembung dengan sebuah kereta lain yang dipandu secara melawan arus di lorong kanan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN