fbpx

Insiden letupan: Mohd. Firdaus dinaikkan pangkat secara ‘posthumous’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng, Ampangan di sini hari ini.

SEREMBAN – Jenazah anggota bomba yang meninggal dunia selepas terlibat dalam letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, Johor pada Sabtu lalu selamat dikebumikan tengah hari tadi.

Allahyarham Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

Allahyarham sebelum itu tiba di Surau Al-Falah, Taman Desa Rhu, Sikamat di sini kira-kira pukul 11.30 pagi dari Hospital Segamat untuk urusan solat jenazah dan majlis penghormatan terakhir.

Turut hadir pada majlis pengekebumian tadi, ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Sementara itu, Yahaya menyifatkan Allahyarham merupakan seorang anggota yang sangat berdedikasi dan pasukan bomba begitu terasa akan kehilangannya.

“Ketua Pengarah JBPM juga bersetuju untuk Allahyarham diberikan kenaikan pangkat secara’posthumous’ daripada pangkat Keselamatan Bomba (KB)19 ke KB 22,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengkebumian tersebut.

Sementara itu, Yahaya berkata, dalam kejadian tersebut Allahyarham yang sudah berkhidmat sejak tahun 2012 mengalami kecederaan pada bahu dan pinggul selepas tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah dalam kejadian letupan di tingkat tiga bangunan kilang tersebut.

“Peringkat awalnya, doktor memaklumkan Allahyarham berada dalam keadaan stabil dan ditidurkan tetapi mungkin ada gangguan pada salur pernafasan menyebabkan beliau meninggal dunia. Ketika jatuh, keadaan fizikalnya tidak begitu teruk hanya patah di tangan, pinggul kiri dan bahu, mukanya hanya terbakar tahap kedua tetapi ada gangguan pada pernafasan.

“Seorang lagi yang cedera parah dalam kejadian tersebut saya dimaklumkan juga meninggal dunia pagi tadi kira-kira pukul 10 pagi dan seorang lagi anggota bomba yang terlibat hanya cedera ringan terkena sambaran api di tengkuk dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik meninggalkan seorang balu iaitu, Nurul Jannah Abd. Hamid Khan, 29, dan seorang anak perempuan, Aisy Alisha Mohd. Firdaus, 3. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI