IPOH – Tiga kedai dan sebuah rumah dijilat api dalam kejadian kebakaran di pekan Gerik menyebabkan penduduk di kawasan sekitarnya cemas.
Bagaimana pun belum dapat dipastikan lagi sama ada terdapat mangsa yang cedera atau terkorban dalam kejadian yang bermula kira-kira pukul 7.50 malam itu.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.01 malam.
Kata jurucakap tersebut, beberapa buah jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Gerik digerakkan bagi memadamkan kebakaran.
“Semasa bomba tiba kebakaran menyebabkan premis dan kediaman yang terlibat terbakar kira-kira 70 peratus.
“Operasi pemadaman turut dibantu anggota dan jentera dari BBP Lenggong dan BBP Pengkalan Hulu,” katanya.
Sehingga pukul 9 malam ini pasukan bomba masih berusaha memadamkan kebakaran bagi mengelakkan api terus marak ke premis berdekatan. – K! ONLINE














