PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muar sudah mengeluarkan arahan supaya bumbung bangunan yang runtuh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Menanti, Muar, Johor pada Khamis lalu dibaiki segera.
KPM menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, kementerian sudah mengarahkan pihak perunding dan kontraktor menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden runtuhan itu.
Menurutnya, pembaikian segera itu penting bagi memastikan blok-blok yang terlibat dapat digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.
“KPM dan JKR Daerah Muar telah membuat siasatan dan mendapati struktur bumbung masih dalam pembinaan serta belum ditutup sepenuhnya.
“Jelasnya lagi, angin kuat semasa kejadian telah memasuki struktur bumbung yang dalam keadaan separa terbuka telah menjadi punca kegagalan struktur bumbung di blok Meranti.
“Pihak perunding yang menjalankan kerja-kerja reka bentuk telah diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci dan menyediakan laporan berkaitan kegagalan tersebut termasuk keselamatan kerja bumbung di blok bersebelahan,” katanya.
Katanya, kerja-kerja menaik taraf bumbung sekolah dan penyelenggaraan bangunan serta lain-lain kerja berkaitan di sekolah itu dilaksanakan melalui perolehan secara sebut harga oleh JKR Daerah Muar.
KPM berkata, JKR Daerah Muar telah mengeluarkan Surat Setuju Terima kepada kontraktor yang berjaya untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bumbung dan penyelenggaraan bangunan di sekolah itu bermula dari 16 Ogos 2021 dan dijangka siap pada Januari 2022. – K! ONLINE