PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM Kali ke-11 Tahun 2022 akan diadakan secara bersemuka pada 27 hingga 31 Mac 2022.
KPM menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, istiadat konvokesyen ini melibatkan semua graduan IPG bagi tahun 2020 dan 2021 seramai 8,799 orang graduan.
Menurutnya, istiadat konvokesyen secara bersemuka ini akan dilaksana mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Perincian lanjut mengenai konvokesyen tersebut akan dimakiumkan kepada semua graduan terlibat dalam tempoh terdekat.
“Pada masa sama, Konvokesyen IPG KPM Secara Dalam Talian Tahun 2021 yang dijadualkan pada 20 hingga 22 Disember 2021 juga akan diteruskan mengikut perancangan memandangkan semua persiapan bagi majlis tersebut telah dibuat.
“Konvokesyen tersebut akan disiarkan melalui pelantar Youtube Rasmi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Facebook Konvo IPG,” katanya.
Katanya, graduan yang telah mendaftar bagi konvokesyen secara dalam talian ini juga boleh mengikuti konvokesyen secara bersemuka pada bulan Mac 2022.
Sementara itu, Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau menerima banyak permintaan daripada graduan IPG 2020 dan 2021 yang mahu supaya istiadat konvokesyen diadakan secara bersemuka.
“Semalam, semasa berada di booth KPM untuk sesi Tanya DRJ pun ada beberapa graduan yang terlibat datang sendiri berjumpa saya dan meminta perkara yang sama.
“Nantikan perincian lanjut mengenai Istiadat Konvokesyen tersebut daripada IPGM dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini. – K! ONLINE