KISAH percintaan pengasas produk Pamoga yang juga jutawan produk kecantikan dan kosmetik tersohor, Datuk Seri Vida dengan bekas pembantu peribadinya, Iqbal telah menghangatkan termometer dunia hiburan baru-baru ini dan menjadi perbualan banyak pihak.
Menerusi kolum Wawancara minggu ini, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman bercerita tentang perkara tersebut termasuk mengakui hubungan yang terhalang disebabkan anak-anaknya tidak bersetuju adalah satu hikmah di sebaliknya.
Selain itu, beliau turut bercerita tentan kewajaran untuk menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan bayaran RM50,000 untuk satu malam.
Beliau turut memberitahu, semangat kentalnya membangunkan perniagaan bermula daripada kosong hingga berjaya menjadi jutawan kosmetik.
———————————————————————————————————————————————————————
NAMA Datuk Seri Vida memang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana jutawan produk kecantikan dan kosmetik tersohor itu mempunyai aura tersendiri yang membuatkan ramai kagum dengan kesungguhannya membangunkan empayar perniagaan.
Ramai yang tidak tahu, sebelum bertapak dalam bidang perniagaan, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman pernah menjadi guru dan membuka perniagaan salon sebelum menghasilkan produk Pamoga.
Nama Vida kembali ‘hangat’ baru-baru ini selepas hubungan ‘cinta’nya dengan bekas pembantu peribadinya, Iqbal diketahui umum dan hampir mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, beliau akur dengan kehendak anak-anaknya yang menghalang perhubungan mereka.
Bagi mendapatkan perkembangan mengenai hal tersebut dan lain-lain kisah berkaitan kehidupannya, wartawan Kosmo! Ahad, Zubaidah Ibrahim berkesempatan menemu bual beliau baru-baru ini.
KOSMO AHAD: Baru-baru ini, tular dalam media sosial, Datuk Seri menginap di sebuah hotel dengan bayaran sebanyak RM50,000 untuk satu malam. Ini telah mencetus perdebatan hangat dalam kalangan netizen dan ada yang mengatakan ia adalah sesuatu yang membazir kerana dengan duit sebanyak itu boleh membeli sebuah kereta MyVi. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?
VIDA: Saya tidak rasa ia satu pembaziran, sebaliknya penginapan mewah di hotel bertaraf lapan bintang itu sebagai ganjaran kepada diri sendiri yang bekerja keras membangunkan perniagaan.
Saya tidak berkesempatan untuk bercuti ke luar negara. Kebetulan bilik yang saya mahu tempah di Langkawi penuh, lalu mengambil keputusan untuk menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Daripada stres tidur di bilik tidak cantik dan sempit, lebih baik menginap di tempat selesa walaupun harganya mahal.
Apa salahnya meraikan diri sendiri, sedangkan untuk iklan, saya sanggup berhabis berjuta-juta ringgit.
Selepas hubungan ‘cinta’ Datuk Seri dengan bekas pembantu peribadi yang juga pengusaha produk kosmetik, Iqbal Zulkifli terhalang ekoran tidak mendapat restu anak-anak, adakah pintu hati sudah tertutup buat lelaki?
Apa yang saya boleh katakan, sixth sense budak-budak tidak berdosa memang benar dan agak sukar pada mulanya untuk menerima takdir pengakhiran hubungan kami sebegitu.
Alhamdulillah, hari berganti hari, saya semakin baik dan sudah boleh menerima takdir ini. Mujur anak-anak ada sixth sense yang hebat untuk menghalang hubungan ini daripada diteruskan. Saya yakin ada baiknya hubungan ini berakhir.
Buat masa sekarang, saya menutup pintu hati untuk mana-mana lelaki.
Apa yang saya terkilan tentang Iqbal ialah dia melepaskan peluang dan ruang yang saya rasa bukan senang hendak dapat, tetapi mungkin cara pemikirannya berlainan.
Susah payah saya fikirkan untuk dia, tetapi dia tidak menghargainya, malah mengecam saya lagi, tindakannya itu sungguh menghairankan.

Dalam hal ini, adakah Datuk Seri memikirkan anak-anak adalah segala-galanya dengan tidak meneruskan hubungan tersebut hingga ke fasa perkahwinan. Jika selepas ini sesuatu hubungan itu tidak mendapat restu mereka, adakah Datuk Seri akan mengalah seperti sekarang?
Ya, tepat sekali, anak-anak adalah segala-galanya bagi saya dan mereka akan sentiasa bersama dengan saya walau apapun yang berlaku. Ini berbeza dengan orang luar apabila sudah popular mulalah menghina, mengutuk dan memburukkan kita.
Segala benda kurang baik dilemparkan kepada kita dan perangai buruk itu dapat dilihat dengan jelas.
Ia tidak perlu tunggu lama, dalam beberapa bulan sahaja boleh nampak.
Sehubungan itu, saya sangat memerlukan restu anak-anak jika ingin meneruskan perhubungan pada masa akan datang kerana mereka ada sixth sense untuk melihat orang terbaik untuk berada di samping saya.
Sejak bila hati terpikat dengan Iqbal, adakah ketika dia bekerja dengan Datuk Seri atau selepas itu?
Iqbal telah bekerja dengan saya selama empat tahun dan pada tahun ketiga, dia mula ‘masuk daun’ walaupun pada permulaannya agak sukar menerimanya kerana usianya sangat muda ketika itu.
Saya telah melatih dan perkemaskan dia serta ditambah dengan bakat dimilikinya telah membolehkan Iqbal menepati kriteria untuk menjadi pembantu peribadi saya, malah dia juga dapat melaksanakan tugas dengan baik.
Dia sebenarnya sudah ‘usha’ saya selama setahun, pada tahun ketiga, cinta mula berputik, manakala pada akhir tahun keempat Iqbal dipecat.
Apakah Datuk Seri melihat Iqbal benar-benar ikhlas dalam perhubungan itu?
Sebenarnya, saya tengok Iqbal mempunyai perasaan ikhlas terhadap saya dan sentiasa ada di saat saya perlukan apa jua bantuan. Soal umur pula, tidak menjadi isu kerana dia sangat matang.
Kalau boleh dia hendak yang berumur 55 tahun, lebih tua daripada saya, tetapi itu cerita lama. Kini dia telah popular dan berubah sekelip mata hingga tersasar jauh.
Bagaimana dengan nyanyian, adakah Datuk Seri akan meneruskannya pada masa depan?
Saya akan meneruskan bidang nyanyian kerana lagu-lagu yang disampaikan sebelum ini mempunyai sambutan sangat baik dan ada pengikut tersendiri.
Saya bercadang untuk menerbitkan lagu baharu tidak lama lagi.
Ia berbeza daripada karya sebelum ini kerana akan menampilkan genre baharu yang lebih gempak dan luar biasa, insya-Allah.
Boleh Datuk Seri ceritakan sedikit tentang penglibatan dalam bidang perniagaan terutamanya jatuh bangun sebelum melakar kejayaan gemilang seperti yang dikecapi pada hari ini?
Sebelum menceburi bidang perniagaan, saya merupakan seorang guru dan kebetulan pada ketika itu saya lihat ada orang buka salon kecantikan, tetapi sayangnya dia tidak pandai menguruskannya.
Melihat kepada keadaan salon tersebut, terdetik dalam hati saya untuk menjalankan perusahaan itu memandangkan sudah terdedah dalam bidang perniagaan sejak kecil yang memberi kelebihan kepada saya untuk berjaya.
Oleh itu, saya memulakan perniagaan dengan membuka salon dan selepas itu berjinak-jinak buat produk sehinggalah terhasilnya Pamoga yang pada awalnya mencari ubat untuk merawat masalah tekanan darah tinggi saya.
Bukan mudah hendak naik ‘meroket’ kerana ia memerlukan masa dan proses panjang sehingga saya berjaya bergelar jutawan serta menjadi penaja dengan kos RM25 juta setahun bagi tahun 2015 hingga 2017.

Bagaimana Datuk seri melihat persaingan dalam bisnes kosmetik memandangkan pada masa ini, banyak orang yang mengusahakan produk sendiri di pasaran. Tidakkah ada rasa tergugat dengan perkembangan ini?
Persaingan dalam bidang kosmetik memang tidak boleh dinafikan, ramai yang hendak bergelar pengasas produk kerana ia merupakan kerjaya dan perniagaan glamor.
Oleh itu, kita perlu bersedia menghadapi cabaran dengan menggunakan pelbagai cara untuk membuat promosi agar kekal relevan.
Saya berasa tidak tergugat dengan kebanjiran produk yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Ini kerana, saya sentiasa berusaha untuk mempromosi pelbagai produk kosmetik serta minuman kesihatan sehingga perniagaan ini masih bertahan walaupun sudah 13 tahun berada di pasaran.
Sebelum ini, Datuk Seri pernah menaja pasukan bola sepak negeri Kelantan dan ‘jodoh’ dengan mereka tidak lama. Adakah selepas ini Datuk Seri ada perancangan untuk melakukan perkara serupa dengan pasukan lain?
Berdasarkan pengalaman sebelum ini, penajaan bola sepak memerlukan perbelanjaan cukup besar, tetapi pulangannya agak sedikit.
Oleh itu, saya akan mengkaji terlebih dahulu sama ada ingin menaja atau tidak pada masa depan.
Saya perlu melihat banyak aspek dalam hal ini.
Saya lihat orang yang minat bola hanya kelompok tertentu, lagipun mereka kurang membeli. Maka, perkara itu perlu dikaji semula.














