fbpx

Bill Gates ramal fasa kritikal pandemik berakhir pada 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gates ketika hadir ke acara Persidangan Pelaburan Global di London, 19 Oktober lalu. – AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Pengasas Microsoft, Bill Gates meramalkan bahawa fasa kritikal bagi pandemik Covid-19 akan berakhir pada 2022, lapor saluran televisyen RT kelmarin.

Gates yang mengeluarkan kenyataan itu menerusi blog miliknya berkata, peningkatan kes melibatkan varian Omicron bagaimanapun adalah ‘membimbangkan’.

“Agak tidak bijak untuk saya membuat ramalan lain, namun saya berpendapat bahawa fasa kritikal pandemik akan berakhir bila-bila masa pada 2022,” tulisnya pada blog GatesNotes.

Sementara itu, meskipun syarikat-syarikat farmaseutikal sebelum ini sering mengalami kesukaran untuk menjual suntikan vaksin selesema disebabkan kadar keberkesanan yang rendah, Gates kekal optimis terhadap rawatan terapeutik.

Beliau memberi contoh  pil molnupiravir yang dibangunkan syarikat farmaseutikal gergasi, Merck. Pil itu telah menerima kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) untuk digunakan sebagai rawatan terhadap golongan berisiko tinggi.

“Pil tersebut mengurangkan risiko seseorang dimasukkan ke hospital atau mati disebabkan Covid-19 secara signifikan,” katanya.

Dalam pada itu, taikun teknologi itu menambah, tahun 2021 adalah tahun yang paling sukar dan luar biasa dalam hidupnya.

“Saya berfikir bahawa anda semua yang membaca tulisan ini turut mengalami perkara yang sama,” tulisnya.

Gates bagaimanapun masih boleh berada dalam keadaan selesa apabila nilai kekayaannya meningkat kepada AS$137 bilion (RM577.6 bilion) ketika pandemik.

Beliau  turut menggelar Omicron sebagai varian yang membimbangkan, namun berpendapat bahawa dunia kini lebih bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang varian baharu berbanding sebelumnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI