fbpx

Penunggang motosikal kuasa tinggi maut rempuh Myvi dan lori tangki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang remuk teruk selepas melanggar kereta dan lori tangki di km 42.3 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini semalam.

BENTONG – Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya melanggar belakang sebuah kereta sebelum merempuh penghadang besi belakang sebuah lori tangki di kilometer (km) 42.3 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Abd. Fatah Syukri Abd. Ghani,32, dalam perjalanan dari Bukit Tinggi ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian yang merupakan satu selekoh, motosikal ditunggang mangsa melanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua MyVi dan kemudian bergerak ke kiri melanggar penghadang besi belakang sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak sawit.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting ke tengah jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan masih giat dilakukan dan mana-mana saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dan menunggang kenderaan dengan berhati-hati serta memastikan kenderaan dipandu diselenggara dengan baik,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI