fbpx

Najib dapat tangguh hukuman penjara, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini membenarkan penangguhan hukuman ke atas Najib hari ini sementara rayuan dibuat di Mahkamah Persekutuan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta berhubung pertuduhan penyelewengan dana SRC International.

Semasa prosiding sebentar tadi, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram membantah permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dengan berhujah bahawa sabitan tidak boleh ditangguhkan.

Bagaimanapun peguam Tan Sri Muhammad Shafee berhujah, Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa perintah dan sabitan boleh dirayu, dengan itu ia boleh ditangguhkan.

Beliau berkata, jika anak guamnya tidak boleh menangguhkan sabitan, ia akan menjejaskan kedudukan beliau sebagai ahli parlimen.

Berita bekaitan: Mahkamah Rayuan kekalkan sabitan, hukuman penjara Najib

Sementara itu, peguam Farhan Read pula berhujah, Najib tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah dan beliau tidak pernah melanggar syarat jaminan.

Katanya, ia adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Perayu juga dibebani sebagai Ahli Parlimen Pekan. Jika penangguhan tidak diberikan ia akan menyebabkan beliau terbatal kelayakan dalam jawatan itu,” kata peguam.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, hakim Abdul Karim membenarkan penangguhan hukuman itu dan mengekalkan syarat-syarat tambahan seperti sebelum ini.

Terdahulu Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kes dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta
terhadap Najib.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Abdul Karim dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera selepas
mendapati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah.-K ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI