PETALING JAYA – Setelah gagal menemui cinta sejati secara bersua muka atau melalui perkenalan, lebih sejuta lelaki dan wanita bujang termasuk golongan andartu di negara ini kini memilih untuk mencari jodoh secara dalam talian.
Kaedah itu dianggap lebih mudah kerana golongan wanita terutama yang berkerjaya tidak lagi perlu menunggu lelaki bujang atau duda datang mengurat mereka, manakala lelaki pula tidak lagi perlu bersusah payah memikat hati si wanita.
Malah, mereka juga boleh memilih pasangan masing-masing yang diminati melalui internet sahaja.
Pengarah Urusan Baituljannah Sdn. Bhd., Dr. Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata, portal yang dibangunkan syarikatnya iaitu Baituljannah.com telah menerima seramai 1,007,991 pendaftaran mencari jodoh setakat kelmarin.
Menurutnya, daripada jumlah itu, wanita paling ramai mencari jodoh secara dalam talian iaitu 534,638 orang berbanding 473,353 lelaki.
Hampir separuh wanita yang mencari jodoh itu adalah golongan andartu.
“Daripada data yang kami peroleh, wanita berusia 30 tahun ke atas mewakili 44.12 peratus daripada jumlah keseluruhan wanita yang mendaftar, manakala bakinya adalah wanita yang berusia antara 18 hingga 30 tahun.
“Bagi lelaki pula, kira-kira 37.54 peratus yang berdaftar adalah berumur 30 tahun ke atas termasuk mereka yang masih bujang dan duda,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Katanya, Selangor mencatatkan peratusan tertinggi wanita berusia 30 tahun ke atas yang sedang mencari jodoh melalui portalnya iaitu 13.1 peratus dan diikuti Johor (12.8 peratus), Kelantan (10.58 peratus), Perak (10.53 peratus) dan Kedah (8.85 peratus).
Bagi lelaki berumur 30 tahun ke atas pula, Johor mencatatkan peratusan tertinggi mereka yang sedang mencari jodoh melalui Baituljannah.com iaitu 13.43 peratus dan diikuti Selangor (12.41 peratus), Kelantan (11.69 peratus), Perak (9.84 peratus) dan Kedah (8.68 peratus).
“Melalui data yang diperoleh juga, wanita berkerjaya dalam bidang pendidikan seperti guru dan pensyarah serta penjawat awam yang lain adalah paling ramai mencari jodoh menerusi internet.
“Bagi golongan lelaki pula, mereka yang paling ramai mahu mendapatkan pasangan melalui internet ialah jurutera dan penjawat awam yang lain,” katanya.
Wan Hasifi memberitahu, berdasarkan maklum balas yang diterima, kira-kira 10,000 pasangan telah berjaya menemui jodoh menerusi portal yang dibangunkan syarikatnya.
“Namun, saya yakin sudah ramai yang telah bertemu jodoh melalui portal ini, tetapi mereka tidak membuat ‘pengisytiharan’ (sudah bertemu pasangan) dengan kami (Baituljannah),” ujarnya.
Wan Hasifi berkata, melalui analisis data yang dilakukan pihaknya, rata-rata masyarakat sekarang mempunyai perasaan takut untuk berkahwin dan membina keluarga kerana kos sara hidup yang semakin meningkat terutamanya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.
“Mereka masih berusaha keras untuk memperkukuhkan kestabilan ekonomi masing-masing sehingga tiada masa untuk mencari jodoh,” ujarnya.-K! ONLINE
















