fbpx

Gaya pakaian ceria serlahkan diri pemakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENTING kita berasa selesa dengan apa dipakai bagi menyerlahkan gaya tersendiri.

Oleh FAIZAL HAMID

GAYA kontemporari bukan hanya bergaya head to toe dengan fesyen berjenama, tetapi lebih tentang cara kita menyerlahkan ekspresi diri ataupun personaliti melalui pakaian yang digayakan.

Kita perlu tahu rekaan apa yang paling sesuai untuk digayakan dan bijak menyuai padan pakaian serta aksesori dengan cara sofistikated.

Bergaya hebat kini lebih kepada berpakaian untuk menampilkan impak serta aura positif dan tersendiri.

Lelaki kini tahu akan harga diri dan sedar untuk memiliki keterampilan hebat tidak memerlukan sentiasa bergaya mewah dengan pakaian serta aksesori mahal atau berjenama.

Apa yang penting, kita mempunyai cita rasa dalam memilih sesuatu pakaian. Utamakan mutu, pilihan potongan ringkas dan elemen perincian yang berseni dan klasik.

Mahal atau murah adalah sesuatu yang subjektif, paling penting kita perlu rasa selesa dengan apa yang dipakai.

Gaya pemakaian seharusnya menyerlahkan individualiti seseorang dan bukan sebaliknya.
Keterampilan yang hebat juga bukan bergantung kepada umur seseorang, ia lebih kepada cara pembawaan diri.

Lihat sahaja ikon filem seperti Brat Pitt ataupun Jude Law. Mereka kelihatan hebat dari setahun ke setahun.

Sama ada kita akui atau tidak, bagi lelaki, keseksian itu bertambah apabila umur meningkat.

Pada saya, ada sesuatu yang amat menarik dan unik mengenai pengalaman tersebut.

Kita perlu selalu berani mencuba dan bereksperimantasi untuk mendapatkan gaya terbaik.

Gaya adalah sesuatu yang ceria, ekspresi diri dan mengenai pilihan individu.

1. Pakaian kontemporari

Di era ini, rekaan pakaian kontemporari lelaki adalah lebih mencabar, pelbagai dan membuatkan pemakainya lebih teruja.

Dahulu, imej lelaki berkemeja dan bertali leher mewakili golongan profesional dan korporat, manakala jean dan kemeja-T pula cerminan anak muda serta remaja, tetapi kini sesiapa pun boleh memakai apa jua pakaian yang mereka inginkan.

Jika lelaki memilih untuk memakai sut, itu adalah kerana kehendak mereka sendiri.

Begitu juga jika mereka memilih memakai sneakers dengan sut, tiada siapa yang boleh menghalangnya kerana itu adalah pilihan individu.

2. Ikut kemampuan, cita rasa

Fesyen membuatkan lelaki kelihatan lebih berketerampilan, yakin dan kreatif terhadap diri apabila berhadapan dengan masyarakat.

Setiap lelaki berhak berfesyen mengikut kemampuan dan cita rasa.

Perubahan gaya dan sikap pengguna lelaki mendorong mereka untuk mengambil langkah bagi mengelak daripada gaya mengikut peraturan.

Mematuhi manual undang-undang gaya secara keseluruhan sememangnya bukan kaedah untuk menjadi stylish.

FESYEN membuatkan lelaki kelihatan lebih berketerampilan, yakin dan kreatif.

3. Perubahan penampilan

Antara panduan untuk kelihatan hebat pada hari-hari penting adalah dengan membuat sedikit perubahan pada penampilan.

Pakailah sesuatu yang selalunya anda tidak biasa guna seperti tali pinggang atau stoking baharu.

Bagi yang berkemampuan, dapatkanlah rawatan wajah yang mana sedikit sebanyak dapat menenang dan mengurangkan tekanan serta melambatkan proses penuaan pada wajah.

Perasaan tenang dapat memberikan kita keyakinan sebenar. Ia antara kunci kepada keterampilan hebat.

4. Menjadi hebat dengan pengetahuan

Sememangnya, ada ketika tarikan pada bentuk fizikal tidak lagi sehebat sebelumnya.

Jadi, lelaki perlu melatih diri mereka untuk sentiasa menjadi lebih menarik dengan pengetahuan tentang perkara yang berlaku di sekelilingnya seperti hasil seni, muzik, makanan atau apa jua yang boleh menyuntik kesegaran pada minda.

5. Aura misteri

Aura misteri adalah sesuatu yang sensual. Kini lelaki tidak perlu pertontonkan tubuh mereka secara berlebihan untuk kelihatan seksi.

Seksi lelaki adalah pada keyakinannya terhadap diri sendiri dan mempunyai sense of humor serta jika mampu, tidak salah untuk memiliki pilihan pakaian-pakaian yang hebat dalam almari.

Adalah penting untuk berpakaian, bukan hanya untuk menyampaikan mesej yang diingini, tetapi juga perlu kelihatan bersahaja dan tidak dibuat-buat.

Memakai pakaian yang kurang sesuai dengan karakter dalaman sendiri, adalah kesilapan yang paling besar dalam definisi fesyen.

FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan
Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni
Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam,
Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI