fbpx

Wanita warga Indonesia maut dikelar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati di dalam sebuah unit apartmen di Sungai Nibong, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan empat kesan kelar pada badan dan leher di sebuah unit di Apartmen Sri Nipah, Sungai Nibong di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mayat mangsa ditemui berlumuran darah oleh dua lelaki warga Bangladesh yang merupakan penyewa di unit tersebut sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata seorang lagi penyewa lelaki warga Bangladesh berusia 37 tahun yang disyaki suspek telah melarikan diri dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

“Selain kesan kelar pada leher, mangsa berusia 45 tahun itu turut dikelar pada perut, dada dan belakang telinga, malah dua bilah pisau dipercayai menjadi senjata pembunuhan turut ditemui di lokasi kejadian.

“Polis turut menemui kesan ikatan tali pada bahagian pergelangan tangan dan kaki mangsa dan kita tidak menolak kemungkinan mangsa mungkin diikat terlebih dahulu sebelum dibunuh,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Tambahnya, berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua penyewa itu, mereka memaklumkan terdengar pertengkaran di dalam bilik di antara mangsa dan suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu pada pukul 7.30 pagi semalam.

“Kedua-dua penyewa itu kemudiannya keluar bekerja dan selepas pulang ke rumah pada waktu malam mereka ternampak mangsa berlumuran darah di dalam bilik.

“Mereka turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan dan butir-butir peribadi suspek juga telah diperolehi,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI